PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Syamsul Yusof gagal menahan sebak ketika
memberikan ucapan pembukaan pada majlis pra-tonton filem terbaharu arahannya
berjudul Munafik di sini pada malam Khamis lalu.
Syamsul, 32, dalam ucapan singkat tersebut memberitahu dia pernah terfikir
untuk berhenti mengarah selepas filem KL Gangster 2 tersebar di internet sebelum
ia sempat ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober 2013.

"Melihat kepada hadirin yang datang pada malam ini membuatkan saya bangga
dan terharu kerana saya pernah berhasrat untuk meninggalkan dunia seni kerana
terlalu kecewa.
"Bagaimanapun saya kembali bangkit dan Munafik adalah khas untuk anda
semua," katanya sebelum meminta maaf kerana tidak meneruskan ucapan tersebut
sambil dilihat mengalirkan air mata.
Munafik filem pertama arahan Syamsul dalam tempoh tiga tahun adalah
terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan ia menampilkan barisan pelakon seperti
Nabila Huba, Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali, Sabrina Ali, A. Galak dan Fizz
Fairuz.
Syamsul turut memegang watak utama dalam filem tersebut. Ia bakal menemui
penonton di pawagam pada 25 Februari ini.
Dalam pada itu, Syamsul ketika ditemui sejurus tayangan tersebut selesai
berkata, Munafik adalah sebuah karya bersifat peribadi untuknya dan ingin
menghasilkan sebuah karya yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton.
Malah dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan skrip selain
mendapatkan rujukan daripada pakar agama memandangkan Munafik bertunjangkan tema
keagamaan.
"Sebenarnya saya tidak mahu hanya menghasilkan sebuah filem genre seram
semata-mata tetapi mahu ia sarat dengan ilmu dan pemahaman berhubung perkataan
munafik itu sendiri.
"Proses menghasilkan karya ini tidak lama namun saya perlu berhati-hati
dalam penggunaan ayat Al-Quran dan fakta-fakta berkaitan agar jalan cerita yang
ingin disampikan lebih hidup dan bermanfaat," katanya.
Tambah Syamsul, pada tahap ini dia tidak terlalu memikirkan tentang
sambutan penonton terhadap Munafik kerana sebagai pengarah dan pelakon dia telah
memberikan yang terbaik.
"Saya reda kalau Munafik tidak mendapat sambutan di pawagam dan tidak
terlalu berfikir mengenainya kerana paling penting saya sudah mencurahkan sebaik
mungkin untuk filem ini dan berharap mesej ingin diketengahkan sampai kepada
penonton," ujarnya.
Sementara itu, Syamsul turut meluahkan rasa bangga terhadap persembahan
pelakon Nabila Huda yang memegang watak sebagai Maria yang pada dasarnya telah
melangkaui jangkaannya.
"Sejak menulis skrip saya sudah tahu watak Maria itu adalah untuk Nabila.
Alhamdulillah dia memberikan lakonan luar biasa memandangkan bukan mudah
menzahirkan peranan diberikan kepadanya.
"Nabila benar-benar menzahirkan segala bayangan saya tentang Maria dan ia
bukan penampilan biasanya dalam drama atau filem lain sebelum ini,"
jelasnya.
0 Response to "Syamsul Yusof Menangis Pada Tayangan 'Munafik'"
Post a Comment