Adik nyaris jadi mangsa tebusan



Adik nyaris jadi mangsa tebusan



ROMPIN – Tidak sampai hati mendengar tangisan adik perempuan jadi tebusan perompak yang memecah masuk ke rumah bapanya, Mohd Azraimi Mohd Azli, 25, yang merupakan anak kepada Ketua Kampung Pianggu, Tanjung Gemuk, di sini, nekad bertindak memukul salah seorang daripada empat perompak sehingga dirinya turut cedera di bahagian tangan dan bahu.



Menurut Mohd Azraimi, dia sempat melepaskan beberapa tumbukan serta membelasah belakang suspek dengan atap genting dan pada masa sama bapanya berlari keluar dengan membawa senapang untuk mengejar perompak berkenaan.



“Saya betul-betul nekad ketika itu walaupun sedar ia tindakan merbahaya kerana tidak sampai hati dengar tangisan adik apabila perompak mengacu pisau di lehernya.



“Selepas bergelut dan saya cedera, bapa saya mengejar perompak tersebut dengan senapangnya, namun mereka sempat melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.



Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi pada 17 Februari lalu, rumah Ketua Kampung Pianggu, Mohd Azli Abdullah, 55, di sini, telah dipecah masuk empat lelaki bertopeng yang dipercayai warga asing berdasarkan loghat yang dituturkan mereka ketika memasuki rumah.



Menurut Mohd Azli, perompak tersebut mengumpil tingkap dapur rumahnya sebelum memecahkan bilik anak perempuannya, Norazira, 23, dengan tong gas.



Katanya, sebaik berjaya memecah masuk bilik Norazira, semua penyamun bertopeng muka itu mengikat anak perempuan saya menggunakan getah paip kecil, lalu arahkannya mengejutkan saya dan isteri di bilik bersebelahan.



“Sebaik membuka pintu bilik, saya melihat seorang daripada penyamun itu mengacu pisau di leher anak perempuan sambil mengarahkan kami tidak melawan serta menyerahkan wang serta barang kemas.



"Pada masa sama isteri menahan pintu bilik, namun perompak berkenaan cuba menetak isteri dengan pisau menyebabkan saya berteriak meminta isteri mengambil senapang yang diletakkan di dalam bilik tidur,” katanya.



Azli berkata, akibat terkejut dengan tindakan itu, semua perompak melarikan diri dengan membawa anak perempuan yang dijadikan tebusan menyebabkan anak lelakinya, Azraimi nekad bergelut sehingga ke luar tepi longkang.



“Melihat kejadian cemas itu, saya melepaskan satu das tembakan amaran. Mungkin kerana takut, mereka bertindak melepaskan Norazira dan melarikan diri ke arah belukar. Kemudian saya melepaskan dua das lagi tembakan, tetapi tidak pasti sama ada mengenai suspek atau tidak.



“Suspek berjaya melarikan diri ke arah kawasan Ladang Yayasan Pahang dengan membawa lari rantai emas serta telefon bimbit milik anak bernilai kira-kira RM2,000. Namun, kami bersyukur kerana terselamat meskipun masih trauma dengan kejadian malam itu,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam, enam suspek berjaya ditahan di kawasan ladang berhampiran rumah mangsa pada hari kejadian dan suspek ditahan reman seminggu bermula 18 Februari lalu bagi membantu siasatan. - sumber


0 Response to "Adik nyaris jadi mangsa tebusan"

Post a Comment