Itu antara kesulitan yang terpaksa ditempuhi hampir kebanyakan penumpang yang terkandas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) disebabkan penerbangan mereka ke Indonesia tertunda akibat penutupan beberapa lapangan terbang antarabangsa di negara itu.
Penutupan lapangan terbang itu susulan letusan Gunung Berapi Kelud di Jawa Timur, Indonesia, sekali gus menjejaskan jadual penerbangan dari Malaysia membabitkan laluan Kuala Lumpur-Surabaya, Kuala Lumpur-Semarang dan Kuala Lumpur-Yogyakarta.
Seorang penumpang, Susiati, 35, berkata dia tidak menyangka penantiannya untuk pulang bercuti ke kampung halaman di Surabaya selepas tiga tahun bekerja di negara ini berakhir sedemikian rupa.
Kali pertama pulang
“Ini kali pertama saya balik selepas tiga tahun setengah bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak. Tidak sangka begini jadinya. Sudah dua hari saya tidak mandi kerana menunggu di sini, disebabkan bimbang mereka akan panggil penumpang secara tiba-tiba.
“Sudah tiga kali penerbangan saya ditunda. Harap segalanya kembali pulih dengan cepat kerana cuti hanya dua minggu, saya terlalu rindukan keluarga di sana,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Penumpang, Misrawi Hassan, 63, berkata dia tidur dalam kesejukan di atas lantai menyebabkan hampir demam dan mula selsema.
Tak tahan cuaca sejuk
“Apabila malam, keadaan di sini terlalu sejuk dan saya tidak mampu menahannya. Tetapi, saya tetap bersyukur kerana kami tidak dihalau dan pekerja di sini faham kesulitan yang melanda. Itu sudah cukup buat saya,” katanya.
Dia yang tinggal hampir 30 tahun di Malaysia dan bekerja sebagai tukang simen di Melaka, bagaimanapun tidak menyalahkan sesiapa atas penundaan penerbangan itu.
“Puncanya adalah bencana alam yang sememangnya tidak dapat dikawal manusia, ini adalah ketentuan Tuhan. Cuma saya harap, semuanya kembali pulih dan dapat pulang ke Surabaya untuk menghadiri kenduri arwah bapa di sana,” katanya.Sumber
0 Response to "ALAHAI!!! Penumpang kandas tak mandi tiga hari"
Post a Comment