Asal dan pekerjaan Bapa P.Ramlee yang anda tidak tahu



Asal dan pekerjaan Bapa P.Ramlee yang anda tidak tahu



Asal dan pekerjaan Bapa P.Ramlee yang anda tidak tahu - Luaslah permandangan kita andai jauh berjalan. Begitulah manfaat yang diperoleh manusia di muka bumi ini jika suka mengembara atau merebut peluang yang melintas untuk kembara.



Demikianlah pengalaman yang dikutip penyanyi Kau Yang Terindah, Alyah atau Norhasliah Abu Hasan apabila diberi peluang untuk memijakkan kaki ke Banda Aceh yang pernah dilanda tsunami paling hebat pada 26 Disember 2004.



Awalnya saya turut diundang menyertai rombongan AirAsia Berhad yang berlepas ke sana Januari lalu, namun disebabkan kekangan tugas di Kuala Lumpur, tiadalah rezeki saya untuk ke daerah itu yang turut digelar Serambi Makkah itu.



Pun begitu saya tetap seronok mendengar kisah menarik mengenai kesan tsunami daripada Alyah dan juga wartawan Harian Metro, Shuhada Mansor dan rakan penulis lain mengenai situasi Aceh yang kini dibangunkan semula impak malapetaka yang pernah melanda mereka.



AYAHNYA seorang perantau dari Lhokseumawe.



Kata Alyah tanpa dipaksa, hatinya terus sayu dan sebak melihat Kuburan Massal yang menjadi tempat bersemadinya ribuan mangsa tsunami. Ketika itu dianggarkan 160,000 warga Aceh terbunuh dalam bencana gempa bumi yang disusuli ombak besar yang membadai Banda Aceh.



Pada waktu sama, Alyah dan rombongan dari Kuala Lumpur dibawa melawat Masjid Rahmatullah dan Masjid Baiturrahman yang kukuh tersergam dan terselamat daripada malapetaka yang digeruni itu. Demikianlah bukti dan tinggalan untuk mereka yang mahu berfikir terhadap kekuasaan Allah SWT di muka bumi ini.



Sebenarnya, kalau dicongak sejarah lama Aceh pun, ia ada kaitan dengan susur galur sejarah serta orang kita. Betapa ramai datuk, nenek dan moyang Orang Melayu berasal dari Aceh termasuk rakyat biasa hinggalah golongan istana.



Malah, kalau hendak diberikan contoh yang paling ‘prominent’, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga berdarah Aceh. Apa tidaknya, ramai tahu bahawa nama sebenar P Ramlee adalah Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh.



Mengikut sejarah, Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim (1902-1955) adalah seorang perantau dari Lhokseumawe, Aceh yang kemudiannya menikahi seorang janda, Che Mah binti Hussein (1904 – 1967) di Kampung Kubang Buaya, Pulau Pinang pada 1925. Hasil pernikahan itu, maka lahirlah Teuku Zakaria yang kita kenali sebagai P Ramlee pada 22 Mac 1929.



Apa yang jelas di sini, Aceh dan Malaysia ada pertalian sejarah yang sangat penting dan atas dasar itu juga kata Alyah dan mereka yang ke sana tempoh hari, warga Aceh sangat mesra dengan orang Malaysia.



Saya difahamkan, ikatan ukhwah itu bertambah baik kerana Malaysia negara pertama yang menghantar bantuan kecemasan kepada rakyat Aceh tatkala tsunami besar melanda tanah air mereka pada 2004 lalu. Jelas sekali lautan bukan penghalang dan musibah yang berlaku ada hikmahnya termasuk mendekatkan hubungan silaturahim sesama kita.



Ketika ini, saya juga sedih melihat semakin banyak bencana melanda negara jiran kita Indonesia kerana letusan demi letusan gunung berapi mula menggugat, membuatkan kita berasa semakin kerdil di bumi Allah SWT ini. Jumpa lagi di lain coretan. — roslenmetro@gmail.com – Hmetro Online


0 Response to "Asal dan pekerjaan Bapa P.Ramlee yang anda tidak tahu"

Post a Comment