Raja Ahmad Alauddin
CUBA teka berapa ramai pengarah di era 90 an yang masih bertahan sehingga ke hari ini?
Jika diteliti, pengarah pada era 80 dan 90 an jarang diberi peluang mengarah berbanding pengarah baharu.
Walaupun kehadiran pengarah silih berganti, siapa sangka, kembara seni ikon ini yang bermula sejak era 90 an masih berlanjutan sehingga kini.
Tidak perlu diragui hasil kerja seninya kerana kebanyakan sentuhan daripada pengarah terkenal, Raja Ahmad Alauddin, berjaya memenangi hati penonton.
Ini dibuktikan dengan kejayaannya menerusi drama adaptasi, Sebenarnya Saya Isteri Dia, nukilan Zura Asyfar, yang ditayangkan pada tahun lalu menerusi slot Zehra TV3.
Bukan itu sahaja, percaturan Raja Ahmad dalam membawa karya novel, The Wedding Breaker, sebagai drama, Ariana Rose, membuktikan ianya bukanlah karya picisan.
Biarpun usia penglibatannya melebihi sedekad, namun penangan pengarah filem, Kayangan ini meninggalkan kesan mendalam buat penonton.
Ia sekali gus membawa nama Raja Ahmad lebih dekat dengan penonton generasi muda yang kebanyakannya menjadi penonton setia drama di kaca televisyen.
Walaupun bergelar ‘orang lama’ yang pastinya penuh ilmu di dada, namun Raja Ahmad bukanlah individu yang sukar untuk didekati.
Ikuti temu bual Zass bersama insan seni yang pernah menggenggam trofi, Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 9 (FFM9) menerusi taruhan pertamanya, Hati Bukan Kristal.
Drama-drama arahan anda memberi fenomena luar biasa. Apakah anda sudah menjangkakannya?
Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada mereka yang menjadi penonton setia karya-karya saya di televisyen. Tidak dinafikan, sambutan yang diterima itu adalah dipengaruhi beberapa aspek
termasuk pemilihan karya dan gandingan pelakon. Drama adaptasi saya seperti Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Ariana Rose, sememangnya ada kelompok peminat iaitu golongan pembaca. Malah,
novel itu juga merupakan naskhah yang bagus dan menarik.
Drama adaptasi novel, Ariana Rose baharu sahaja melabuhkan tirainya. Adakah anda berpuas hati dengan karya ini?
Sejujurnya, saya tidak berpuas hati kerana tidak dapat membawa drama ini seperti dalam novel ekoran kekangan bajet dan masa. Namun, saya bersyukur kerana penonton yang terdiri daripada dua kelompok iaitu pembaca dan peminat drama Melayu berpuas hati dengan apa yang kami persembahkan.
Walaupun terpaksa mengubah beberapa lokasi kerana kekurangan bajet, namun ia tidak mengecewakan golongan pembaca. Malah, saya turut terkejut apabila drama ini ditonton oleh golongan pelajar di luar negara menerusi aplikasi online, Tonton. Ini menunjukkan bahawa mereka yang berada di luar negara turut mengikuti perkembangan drama Melayu.
Saya gembira kerana dapat mendekati golongan muda dengan karya-karya sebegini. Malah, mereka adalah pembakar semangat saya untuk terus bekerja keras.
Apa reaksi anda bila dilabel sebagai pengarah drama adaptasi?
Saya tak kisah apa sahaja pandangan orang terhadap kerja seni saya kerana setiap ‘job’ yang diberikan, saya bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebagai pengarah, saya akan menerima apa juga tawaran diberikan. Drama biasa atau adaptasi, semua saya buat. Lagipun, karya saya bukan drama adaptasi sahaja.
Walaupun pada pandangan mata kasar, drama adaptasi lebih mudah divisualkan, namun sebenarnya ia lebih sukar. Saya perlu mengambil kira beberapa perkara lain termasuk golongan pembaca.
Walaupun hanya 50 hingga 60 peratus sahaja yang dibawa kelayar, namun saya perlu memastikan ia masih mengikuti jalan cerita asal. Malah, saya juga mengambil kira pandangan masyarakat terutamanya penonton.
Khabarnya, anda kini sedang sibuk mengarah lagi. Boleh kongsikan sedikit mengenai karya terbaru anda itu?
Alhamdulillah, rezeki dalam bidang pengarahan drama amat baik. Saya juga diberi kepercayaan dalam drama untuk RTM, terbitan Global Station Sdn Bhd, Bermula Dengan Bismillah. Selain itu, saya juga terlibat dalam pengarahan telefilem, Hanya Di Atas Kertas, untuk slot Cerekarama di TV3. Telefilem ini membariskan pelakon hebat seperti Nabila Huda dan Keith Foo.
Sempena Hari Raya Aidilfitri nanti, saya akan menghasilkan telefilem istimewa, Sebenarnya Saya Isteri Dia. Saya juga akan terlibat dalam pengarahan karya melibatkan kerjasama tiga negara, iaitu Singapura dan Indonesia.
Namun, saya tidak dapat bercerita lebih lanjut lagi mengenai karya ini kerana ia masih dalam proses perbincangan.
Tidak terdetik hati untuk mengarah filem?
Sepanjang usia penglibatan seni saya sejak awal 90 an, sebanyak empat filem yang saya hasilkan, iaitu Hati Bukan Kristal, Lurah Dendam, Qaisy dan Laila serta Kayangan. Filem Kayangan merupakan karya filem terakhir saya iaitu pada 2006. Namun, buat masa ini, saya tidak bersedia mengarah filem kerana tidak mahu menanggung risiko yang tinggi. Malah, jika dilihat keadaan industri perfileman kini, saya menjadi ragu-ragu untuk berkarya.
Kita sendiri tidak tahu apa yang penonton inginkan. Saya tidak mahu memberi risiko yang tinggi buat penerbit. Sekiranya filem itu gagal mendapat sambutan, saya akan terus dibuai rasa bersalah kepada pihak penerbit.
Setelah mencuba dua bidang ini, ternyata saya lebih selesa berkarya menerusi drama dan telefilem sahaja.
Mengapa? Adakah rajuk ini akan berpanjangan?
Bukan merajuk, tapi tidak berani kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Melihat kepada kemerosotan kutipan kini, lagi lah ia menakutkan saya. Kalau ditanya mengenai kepuasan, memanglah saya lebih puas dengan penghasilan filem. Namun, ‘feel’ untuk buat filem sudah tidak ada kerana konsep sekarang sudah berubah. Mana tidaknya, kebanyakan filem kini hanya setaraf drama sahaja. Malah, penggambaran juga hanya mengambil masa 10 hingga 15 hari sahaja. Adakah itu filem?
Bagi saya, filem memerlukan kajian dan tempoh masa panjang untuk beberapa perkara termasuk script reading dan rehersal. Lagipun, produksi sekarang lebih suka buat cerita hantu dan seram. Saya tidak minat menghasilkan filem sebegitu dan saya lebih selesa memberi peluang kepada pengarah lain untuk berkarya.
Akhir sekali, apa pandangan anda mengenai perkembangan industri hiburan tempatan?
Walaupun pelbagai pandangan orang ramai mengenai industri, namun bagi saya, ia tetap menunjukkan perkembangan yang positif. Malah, kehadiran banyak syarikat produksi membantu penggiat seni menghasilkan drama. Stesen televisyen juga semakin banyak dan terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk memberikan hidangan yang lebih menarik buat penonton. Ini juga memberi peluang kepada pendatang baharu dalam industri.
Ramai pelajar seni yang masih memerlukan bimbingan untuk bersama kita dalam industri ini. Jadi, sebagai orang lama, kita perlu melihat hasil kerja mereka dan jangan biarkan mereka terkontang-kanting di luar bidang yang dipelajari.Sejujurnya, saya seronok bekerja dengan orang muda kerana mereka memiliki buah fikiran segar yang boleh dikongsi.
Sumber
0 Response to "[BONGKAR] Raja Ahmad Alauddin Takut Buat Filem"
Post a Comment