Pelbagai ulama’ telah berijtihad dan memutuskan hukum tentang pemakaian bau-bauan oleh wanita. Terdapat beberapa keadaan hukum tentang pemakaian wangian antaranya, sunat, wajib, makruh dan haram. Berbeza pula dengan pemakaian wangian bagi kaum lelaki, hukum pemakaiannya sunat sepanjang masa kecuali jika terdapat keterangan yang menghukum sebaliknya.
1. Waktu Wajib Memakai Wangian-wangian.
Hukum memakai wangian adalah wajib bagi wanita, iaitu ketika suami ada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami di waktu malam, hendaklah mereka terlebih dahulu memakai wangi-wangian dan jika selain daripada tujuan tersebut maka tidak diwajibkan.
Nabi bersabda, maksudnya:
Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu (suami) memandang kepadanya sentiasa menyenangkan hati kamu…( An-Nasa’ie dari Abu Hurairah)
Maksud menyenangkan hati diertikan disini, ialah dalam semua segi. Dari segi akhlak, wajah dan dirinya sentiasa berhias dan bersolek, sentiasa berbau wangi di rumah dan di hadapan suami, semuanya termasuk perkara yang boleh menyenangkan suami. Tetapi untuk keluar rumah, wanita dilarang bahkan haram bersolek dan mengenakan bau-bauan.
2. Waktu Sunat Memakai Wangian.
- Ketika berada di dalam rumah, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan suami.
- Ketika hendak sembahyang dan beribadah di dalam rumah dan bukan di masjid. Kalau hendak ke masjid maka terdapat hadis yang melarang wanita memakai wangian.
- Ketika menyambut tetamu wanita, maka sunat memakai wangian kerana jika berkeadaan busuk kemungkinan boleh menyakiti perasaan tetamu.
Terdapat sabda nabi yang menjelaskan bahawa wanita juga digalakkan memakai wangian, tetapi tidak di waktu yang dilarang.
Sabda nabi S.A.W : “ Wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangian wanita ialah yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya.”
3. Waktu Makruh Memakai Wangian.
Hukum berwangi-wangian ketika puasa adalah makruh.Hal ini telah disepakati oleh ulama’ dan terdapat penjelasan di dalam bab puasa. Kenyataan ini dipegang oleh Imam Syafie dan Qaliyubi bahawa makruh memakai wangian ketika puasa.
4. Waktu Haram Wanita Memakai Wangi-wangian.
Diharamkan bagi wanita memakai wangian iaitu ketika keluar rumah, di hadapan lelaki bukan mahram, tujuan memikat lelaki dan ketika ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
Sebagaimana sabda nabi S.A.W :
“ Seorang wanita apabila memakai bauan, kemudian keluar melalui di hadapan orang ramai dalam suatu majlis yang ada lelaki bukan mahram denganya, maka wanita tersebut dikira seperti orang yang melakukan zina.”
Dari Abu Hurairah ra, katanya, sabda Nabi saw :
"Apabila seorang wanita hendak keluar ke masjid (dalam keadaan dirinya berwangian), maka hendaklah dia mandi (membersihkan) dari wangian itu sepertimana dia mandi dari janabah."(Hadith riwayat al-Nasa-ie dan dihasankan oleh al-Albani di dalam sahih sunan al-Nasa-ie)
sumber:media-nt.blogspot.com
0 Response to "Hukum Wanita Memakai Wangi-wangian"
Post a Comment