Personaliti penghias muka depan WOW kali ini merupakan selebriti terkenal yang kini aktif menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bermula sebagai penyanyi yang pernah popular dengan kumpulan Elite, Linda Rafar atau Azlinda Rafar sebenarnya telah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Perniagaan amat rapat dengan diri si kecil molek ini memandangkan keluarga termasuk adik-beradik serta suaminya juga memiliki perniagaan masing-masing. Justeru, tidak hairanlah dari sehari ke sehari, Linda semakin galak melebarkan sayap di bidang ini dan terbaru, LR Flawless SkinCare dan Protrim Capsule menjadi pertaruhan.
Bernaung di bawah syarikat miliknya bernama Zairaf Trading, dua produk ulung syarikatnya itu telah pun diperkenalkan sejak penghujung tahun lalu. Tanpa diduga, lebih 1,000 set penjagaan kulit LR Flawless SkinCare habis dijual dalam tempoh kurang lima bulan dari tarikh pelancarannya pada 2013.
“Promosi semata-mata bergantung dengan Instagram dan Facebook. Linda tak beli iklan atau masuk mana-mana akhbar. Tak sangka, LR Flawless SkinCare mendapat sambutan ramai. Syarikat kemudian menambah pengeluaran dan dari sehari ke sehari pengeluaran dipertingkatkan untuk pasaran seluruh negara,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam.
Percaturan baharu
Atas perkembangan memberangsangkan itulah, Linda berani membuat percaturan memperluaskan rangkaian produk dengan mengeluarkan Protrim Capsule, satu persediaan tradisional untuk merawat dalaman badan.
Kapsul ini membantu mengurangkan berat badan dengan cara membersihkan usus melalui pencernaan tanpa rasa memulas atau sakit perut.
“Ia ramuan tradisional mak Linda. Sejak kecil Linda memang makan kapsul ini untuk cuci segala isi perut yang dimakan.
“Makan dua kapsul pada sebelah malam, esok pagi dah buang air. Dengan cara itu buat Linda rasa segar dan bersih dari segi dalaman.
“Pada Linda, penjagaan tubuh dan wajah perlulah bermula dari dalam. Jika sebelum ini Linda kongsi rahsia kulit wajah menerusi LR Flawless SkinCare, nah sekarang Linda kongsi pula rahsia sihat dalaman menerusi Protrim Capsule. Dua produk ini jika digandingkan bersama dan diamalkan secara konsisten oleh individu, ia akan memberikan kesan dua kali lebih positif untuk kesihatan dan kecantikan,” katanya.
Protrim Capsule baharu dilancarkan kira-kira sebulan lalu (pada masa artikel ini ditulis) dan dalam tempoh itu lebih 1,000 kotak telah diedarkan di seluruh negara menerusi ejen berdaftar.
Menariknya mengenai produk-produk keluaran Zairaf Trading adalah; ia tidak melantik ejen secara sembarangan sebaliknya ejen berdaftar dengan matlamat serius dalam perniagaan sahaja yang layak menjadi pengedar. Setiap set produk perlu dibeli sebanyak minimum 100 untuk melayakkan pelantikan ejen.
“Ini penting dalam menjaga pemasaran produk Linda. Pada masa sekarang terlalu banyak kes penipuan dan peniruan produk. Linda tak mahu produk ini tidak terkawal. Setiap ejen Linda pastikan berdaftar dan bila dah kenal senang nak pantau. Produk original mempunyai hologram daripada Kementerian Kesihatan,” kata ibu tiga anak ini.
Hargai kepercayaan peminat
Sebagai seorang personaliti, Linda amat menitikberatkan soal keberkesanan produknya. Dia sama sekali tidak mahu kepercayaan yang diberikan peminat kepadanya dimanipulasikan pihak tertentu sehingga akhirnya Linda sendiri yang terpaksa menanggung kesan dan kerugian.
“Kejayaan produk Linda terjual meski pun hanya menerusi Facebook dan Instagram tentu disebabkan oleh peminat Linda juga. Jika tak kerana mereka yang bersungguh-sungguh memberi sokongan tentu payah untuk ia terkenal di pasaran dalam tempoh yang cepat. Lagipun dunia kecantikan mempunyai banyak persaingan.
“Tapi Linda percaya, jika sesuatu produk itu dihasilkan dengan baik, tiada unsur-unsur penipuan, ia pasti akan membuahkan keuntungan berganda kepada pengusahanya. Linda pegang prinsip itu. Sebab itu Linda tak nak jual sembarangan. Bagi Linda, jika Linda tetapkan pembelian pukal, seseorang itu telah menampakkan usahanya untuk berniaga,” kata pemilik wajah cantik ini.
Jatuh bangun dalam dunia perniagaan sememangnya mengajar Linda untuk menjadi lebih matang dalam membuat keputusan dan menggubal strategi bisnes.
Minat sejak kecil
Bermula dengan karier sebagai penyanyi, Linda sebenarnya telah menunjukkan kebolehan diri dalam bidang perniagaan sejak dari kecil.
“Masa di Sekolah Taman Nirwana Ampang, Linda selalu sertai program seperti karnival jualan sekolah. Linda akan jadi ketua kumpulan untuk projek jualan. Jual buah tembikai, jual sticker.
“Masa tu Linda sedar yang minat Linda memang ke arah bisnes seperti keluarga dan adik-beradik lain.
“Keluarga Linda asalnya menetap di Johor. Masa Linda dan Diana kecil, famili pindah ke Ampang dan tinggal di sana.
“Bermula sekolah menengahlah Linda terlibat dalam aktiviti kebudayaan seperti menyanyi, berlakon, bersyair dan deklamasi puisi,” kata anak kelima daripada enam adik-beradik ini.
Tidak hanya aktiviti kebudayaan, Linda juga meminati sukan bola jaring dan mula aktif berlakon. Linda kemudian menyambung pelajaran peringkat A Level di Stamford College.
Ibu bapa yang tegas
Bercerita mengenai latar belakang keluarganya, Linda memberitahu dia amat rapat dengan emak yang selalu menjadi penasihat dan peneman di kala kesusahan. Tidak hanya sebagai penasihat yang baik, emak dibawa ke mana-mana menemani Linda pada awal pembabitannya dengan dunia lakonan dan nyanyian.
“Terus terang, ayah (Allahyarham) memang seorang yang tegas walaupun muka manis. Sebelum keluar show dia dah pesan, habis show terus balik. Kalau lambat mesti kena marah. Selalunya mak akan telefon dan bagi tahu ayah dah marah dan cepat-cepat kena balik.
“Kehilangan ayah memang satu luka besar dalam hati kami sekeluarga. Dan kini, emak tinggal dengan Linda. Selain fokus dengan perniagaan, Linda banyak habiskan masa menemani mak ke mana-mana. Kalau Linda sibuk, mak akan pergi ke rumah adik-beradik yang lain,” katanya.
Bisnes restoran Jom Lepak
Pada awal pembukaan restoran makanan Jom Lepak siapa tidak kenal dengan keenakan masakan kampung terutamanya asam pedas resipi ibu. Restoran yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam ini sering menjadi tumpuan ramai untuk bersantai sambil menikmati hidangan lazat ala kampung yang bukan sahaja popular dalam kalangan rakan artis malah penduduk setempat.
Malangnya, restoran itu terpaksa ditutup atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Lamanya Linda menghilang tidak bererti dunia perniagaan mahu diketepikan begitu saja. Fokusnya kemudian bertukar ke arah perniagaan kereta mewah yang turut diusahakan suaminya, Syed Aiman.
“Ketika itu Linda lebih ke arah promosi. Bantu suami Linda dan belajar lagi selok-belok perniagaan. Terus-terang restoran memang berikan pulangan lumayan. Tetapi cabarannya amat hebat. Bagi Linda, kalau dapat ulang Linda tak nak buka dah. Atau sekurang-kurangnya Linda dah ada ilmu cukup dalam bidang masakan.
“Kenapa Linda cakap macam tu sebab uruskan restoran ni kena fikir segenap segi. Mana nak urus pekerja, stok bahan mentah, restoran dan macam-macam hal lagi. Dua tahun bertahan.
“Masa buka tu redah sahaja tak fikir jangka masa panjang dan bila dah ada dalam dunia perniagaan melibatkan restoran baharu Linda tahu susah senangnya menguruskan restoran.
“Masa tu Linda memang serabut sampai kawan-kawan pun kata bisnes ni tak sesuai dengan Linda. Rambut pun tak blow. Linda jadi tertekan dan ada kalanya tak sempat nak uruskan diri. Akhirnya selepas bincang dengan suami, Linda tutup,” katanya.
Pun begitu, Linda sentiasa optimis untuk menceburi perniagaan yang akhirnya memilih bidang kecantikan.
Bagi Linda, perniagaan kali ini biarlah yang boleh memberikannya kepuasan lebih-lebih lagi soal pembahagian masa antara suami, anak-anak dan keluarga dengan baik.
Berniaga kerana mak
“Linda buka restoran kerana mak. Mak suka memasak dan masakan mak memang tak dapat ditandingi. Tapi bila dah buka baharu tahu macam mana. Buka restoran kalau boleh biarlah kita tahu semua terutamanya mengenai masakan.
“Sebab kalau kita hilang tukang masak atau pekerja buat hal sekurang-kurangnya kita ada back up planning.
“Sekarang ni mak dan kakak, Sheila Rafar buka restoran asam pedas di Anggerik Mall Shah Alam. Kepada peminat yang rindu resipi mak bolehlah berkunjung ke sana,” sambung Linda diiringi ketawa.
Ibu empat anak ini kelihatan berseri ditata rias oleh jurusolek Alha dari Ezalha Butik Kajang.
Linda mendirikan rumah rangga dengan pelakon Syed Aiman pada 2 Disember 2006 dan dikurniakan dua anak, iaitu Syed Rezaqiib, 6, dan Syed Ariq, 2. Dua lagi anak Linda iaitu, Rezaril Keifli, 14 dan Rezaiman Keifli, 12; adalah hasil perkahwinannya dengan pelumba kereta, Keifli.
Sehingga kini, hubungan Linda dengan bekas suami masih baik demi kemaslahatan dan masa depan anak mereka.
SUmber : SinarHarian
0 Response to "[ Hiburan ] Dunia baharu Linda Rafar"
Post a Comment