Pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul anak lelaki mereka. - Foto dipetik daripada Astro Awani
Perbicaraan yang menyaksikan seramai 16 orang saksi dipanggil dengan empat daripadanya melalui keterangan yang dirakamkan, disaksikan oleh Hakim Mattias Moller bersama 2 orang hakim lain yang dipilih dari kalangan masyarakat berpengaruh tetapi tidak mempunyai sebarang latar belakang perundangan. Selain itu, pihak pendakwaan yang diketuai Anna Arnell turut menayangkan rakaman keterangan keempat-empat anak pasangan itu di awal perbicaraan.
Azizul dan Shalwati yang kelihatan tenang disulami sedikit emosi sepanjang perbicaraan turut dipanggil memberikan kenyataan serta merekodkan pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan kepada mereka.
Pasangan yang didakwa kerana dikatakan melanggar integriti keempat-empat anak mereka secara kasar dari tahun 2010 hingga 2013 ini menyifatkan sentuhan fizikal yang dilakukan mereka bukanlah berniat atau bertujuan untuk mencederakan sebaliknya merupakan suatu tindakan untuk mendisiplinkan anak-anak dan ianya diterima di dalam Islam.
Ini dibuktikan apabila tiada langsung kecederaan, laporan perubatan dan kesan penderaan ke atas keempat-empat anak mereka selain kedudukan emosi kanak-kanak tersebut juga berada dalam keadaan baik.
Mengulas kes tersebut, Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) memaklumkan sistem kehakiman di Sweden agak berbeza berbanding Malaysia dengan hakim lebih banyak memainkan peranan dan turut terlibat dalam menentukan hala tuju perbicaraan. Setelah mendengar hujah terakhir kedua-dua pihak, mahkamah kebiasaannya akan mengambil masa selama dua minggu untuk memberikan keputusan yang dikeluarkan secara bertulis dan tidak dibacakan di dalam Mahkamah sebagaimana yang dipraktikkan di Malaysia.
Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua pasangan ini boleh dikenakan hukuman penjara minimum 6 bulan hingga maksimum 6 tahun. Selain itu, mereka juga boleh dikenakan hukuman yang lebih ringan seperti menjalani khidmat komuniti selama tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah dengan syarat pihak tertuduh dalam sesuatu kes itu menerima hukuman khidmati komuniti tersebut bagi memastikan tiada kekangan dari segi kesihatan dan kemampuan fizikal.
Namun begitu, jika dibebaskan, Azizul dan Shalwati boleh mengemukakan saman dan meminta ganti rugi di atas beberapa alasan seperti penahanan salah atau ganti rugi peribadi akibat dakwaan yang dikenakan ke atas mereka.
Azizul dan Shalwati diwakili Peguambela Jonas Tamm dan Kristofer Stahre, manakala Timo Monninen bertindak sebagai Peguam Pemerhati yang dilantik pihak Tourism Malaysia.
Penghujahan akhir dijadualkan berlangsung di Mahkamah Daerah Solna pada 14 Mac 2014.
Sumber
0 Response to "KES PASANGAN MALAYSIA DI SWEDEN : Azizul, Shalwati lega perbicaraan tamat esok"
Post a Comment