SEJAK kehilangan pesawat MAS MH370, pelbagai petunjuk diberikan. Bermula dengan dakwaan pesawat terbabit telah mendarat, keluarga penumpang boleh menghubungi telefon bimbit mangsa dan kemudian dakwaan seorang petugas di pelantar minyak di Vietnam yang ternampak pesawat terbakar serta pelbagai lagi petunjuk ternyata tidak membantu pencarian pesawat terbabit.
Ia kerana, sehingga kini, pelbagai teori dan petunjuk itu dinafikan sama ada daripada MAS, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sinar Harian menyenaraikan semua petunjuk yang dikatakan berkaitan dengan misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 dari hari pertama kejadian sehingga semalam berserta penafian yang dibuat.
8 Mac 2014
1) Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar pada jam 1.30 pagi 120 batu nautika di perairan timur Kota Baharu, Kelantan. Ia dikatakan membuat pendaratan kecemasan di Nanning, China.
- MAS mengesahkan laporan yang menyatakan penerbangan MH370 telah membuat pendaratan kecemasan di Nanning, China adalah palsu.
2) MH370 juga dikatakan telah terhempas di kawasan pelantar minyak dan gas milik Talisman Malaysia Sdn Bhd. Pegawai tentera laut Vietnam, Laksamana Ngo Van Phat memberitahu Reuters, pesawat tersebut mungkin terhempas di perairan Malaysia, 153 batu di luar pantai Vietnam, Tho Chu mengikut kelajuan dan kawasan terakhir dikesan.
- Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan tersebut.
9 Mac 2014
1) Laporan antarabangsa mendakwa satu objek menyerupai ekor pesawat dikesan di Laut China Selatan.
- Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azaharuddin Abdul Rahman menafikan penemuan serpihan objek kononnya komponen pintu pesawat yang dilaporkan media Vietnam adalah milik pesawat MAS MH370, Pihak berkuasa Malaysia segera menghubungi pihak berkuasa Vietnam sejurus laporan berkenaan tersiar dan menafikan menjumpai objek berkenaan.
2) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menemui satu tompokan minyak berada 100 batu nautika dari pesisir pantai Tok Bali.
- Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sebuah kapal peronda milik Maritim sudah diarah mengambil sampel minyak itu.
Minyak yang dijumpai di Laut China Selatan itu hanyalah minyak bunker dan tidak digunakan oleh kapal terbang.
3) Hishammuddin memberitahu empat penumpang MH370 menggunakan pasport palsu.
- Azharuddin bagaimanapun mengesahkan hanya dua penumpang mempunyai pasport curi, daripada negara Itali dan Austria.
10 Mac 2014
1) Pertemuan objek yang pada mulanya disangka ekor kapal terbang yang dikesan di Laut China Selatan oleh beberapa pesawat yang terbabit dalam usaha mencari pesawat MH370.
- Azaharuddin mengesahkan, serpihan pesawat yang dilapor ditemui pihak berkuasa di perairan Vietnam bukan milik pesawat MH370.
2) Dakwaan mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas.
- Azharuddin menafikan kemungkinan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang telah dirampas.
11 Mac 2014
1) Sekumpulan nelayan menemui satu objek dipercayai rakit getah pesawat yang bertulis perkataan ‘boarding’ kira-kira 10 batu nautika dari pantai Port Dickson. Rakit tersebut dikatakan milik pesawat MH370 yang dipercayai melintasi perairan Selat Melaka.
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 5 Kuala Linggi mengesahkan objek berkenaan bukanlah rakit penyelamat dan ianya hanyalah boya.
2) Dikatakan lima penumpang telah mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat tersebut.
- MAS dalam kenyataan awalnya menjelaskan terdapat empat penumpang yang tidak muncul untuk mendaftar masuk bagi penerbangan MH370 meskipun mereka telah membuat tempahan untuk perjalanan itu.
12 Mac 2014
1) Penemuan mayat di perairan Selat Melaka dikatakan salah seorang penumpang pesawat MH370.
- MAS mengesahkan ia bukan penumpang pesawat MAS penerbangan MH370.
13 Mac 2014
1) Sumber dalaman MAS memberitahu Sinar Harian bahawa mereka ada mengaktifkan kod tango.
- Azharuddin menafikan kod tango berkenaan diterima.
2) Polis Diraja Malaysia didakwa menggeledah rumah juruterbang dan anak kapal MAS MH370.
- Hishammuddin dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menafikan perkara tersebut.
3) Wall Street Journal mendakwa pesawat terus terbang selama empat jam selepas hilang dari radar.
- Hishammuddin menafikan pesawat terbang dalam jangka masa tersebut.
4) CNN melaporkan satelit China mendakwa mengesan tiga objek yang terapung di perairan Laut Cina Selatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370. Objek-objek terbabit dianggarkan berukuran sekitar 13 kali 18 meter, 14 kali 19 meter dan 24 kali 22 meter.
- DCA Malaysia mengesahkan tiga objek besar terapung di kawasan terakhir pesawat MAS 370 dilaporkan terputus hubungan sebagai bukan serpihan kapal tersebut. -SinarHarian
0 Response to "#MH370: BANYAK PETUNJUK, SATU DEMI SATU DINAFIKAN. APA LAGI SETERUSNYA?"
Post a Comment