[MH370] Bukan serangan pengganas - Interpol











Sebuah bot menyelamat yang membawa beberapa anggota mencari dan menyelamat, diturunkan dari kapal perang Mianyang milik Tentera Laut China di lokasi disyaki pesawat MH370 hilang di Laut China Selatan. - REUTERS

LYON, Perancis 11 Mac - Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) hari ini tidak percaya bahawa kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada Sabtu lalu mempunyai kaitan dengan serangan pengganas.

Setiausaha Agungnya, Ronald Noble berkata di ibu pejabat Interpol di sini, pihaknya lebih cenderung ke arah kesimpulan bahawa kehilangan pesawat itu bukan disebabkan serangan pengganas berdasarkan maklumat yang diterima.

"Berdasarkan lebih banyak maklumat yang kami terima, kami beranggapan kehilangan MH370 tidak melibatkan elemen keganasan," katanya.

Noble dalam pada itu berkata, dua lelaki warganegara Iran yang turut menaiki pesawat tersebut dengan pasport curi, kemungkinan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.


Dua pemilik pasport warga Iran berumur 19 dan 29 tahun yang datang dari Doha, Qatar telah menggunakan pasport curi di Kuala Lumpur dengan nama warga Itali dan Austria ketika memasuki penerbangan MAS itu.







"Kami tahu mereka tiba di Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu dan menggunakan pasport serta identiti palsu bagi menaiki pesawat MH370," katanya.

Kedua-dua pasport warga Iran itu juga tidak dilaporkan dicuri atau hilang.

Tambah Noble, Interpol sedang menggiatkan usaha bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan terhadap kehilangan MH370 termasuk kegiatan pengganas, jenayah terancang atau pemerdagangan manusia.

"Pengumuman tentang identiti warga Iran yang dikenal pasti sebagai Pouri Nourmohammadi dan Delavar Seyed Mohammadreza itu mungkin boleh memaksa keluarga atau rakan mereka tampil dan memberi maklumat kepada pihak berkuasa bagi menolak kemungkinan serangan pengganas.

"Dengan penambahan bukti, kita mampu menolak jangkaan mereka terlibat dalam rancangan terhadap kehilangan pesawat itu dan memberi perhatian terhadap jenayah pemerdagangan manusia yang membolehkan mereka ke luar negara," katanya. - REUTERS

Sumber

0 Response to "[MH370] Bukan serangan pengganas - Interpol"

Post a Comment