Penyiasat kes kehilangan misteri Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 beranggapan komitmen Amerika Syarikat (AS) dalam isu MH370 akan meningkat berkali ganda andai ia dapat dikaitkan dengan serangan pengganas Islam.
The Wall Street Journal memetik sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, andai kumpulan seperti Jemaah Islamiah yang terbabit dalam pengeboman Bali pada tahun 2002 dipercayai terbabit, maka lebih banyak lagi bantuan akan mula digerakkan Washington.
Setakat ini, kesemua penumpang kecuali warga Rusia dilaporkan pihak berkuasa Malaysia sebagai bebas dari sebarang ikatan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
Di Indonesia, di mana Jemaah Islamiah pernah melakukan serangan-serangan yang ganas, Presidennya, Susilo Bambang Yudhoyono secara peribadi mengesahkan kesemua 7 warga Indonesia dalam penerbangan MH370 tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas pada minggu lepas.
Menurut Pengarah Institut Analisis Polisi Konflik yang berpusat di Jakarta, Sidney Jones yang juga pakar mengenai keganasan di rantau ini, tidak ada sebarang bukti kukuh atau kaitan dengan tindakan pengganas dalam kehilangan MH370.
“Saya tidak ada rasa ada sebarang penjelasan melibatkan pengganas.
“Tidak ada mana-mana kumpulan pengganas yang beroperasi di rantau ini yang mampu bertindak ke tahap yang demikian, tidak siapa pernah berminat untuk menyerang Malaysia, tidak ada apa dalam latar belakang juruterbang yang mampu menzahirkan hubungan dengan kumpulan radikal, tidak ada sesiapa pun mengesan perbualan pengganas dan tidak ada mana-mana penumpang pun mempunyai hubungan pengganas,” katanya
Sehingga kini, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal masih belum ditemui selepas 17 hari hilang pada 8 Mac lalu.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi, hari yang sama.
0 Response to "MH370: Komitmen Amerika Bertambah Jika Melibatkan Kumpulan Pengganas Islam"
Post a Comment