#MH370: PENTAGON JUMPA PETUNJUK PESAWAT TERHEMPAS DI LAUTAN HINDI



KUALA LUMPUR: Pegawai Amerika Syarikat mendedahkan ada "petunjuk" pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu mungkin terhempas di Lautan Hindi dan sedang menggerakkan kapal USS Kidd ke kawasan untuk mencarinya, lapor stesen televisyen ABC News.

Pegawai kanan Pentagon itu memberitahu ABC News, pihaknya memerlukan masa 24 jam untuk menggerakkan kapalnya ke kawasan itu.

Jelas pegawai itu, mereka ada petunjuk pesawat itu terbang empat atau lima jam selepas hilang daripada radar dan mereka percaya ia terhempas ke dalam laut.

Pendedahan pegawai kanan Pentagon itu menyusul kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang media pada Khamis menafikan laporan awal akhbar The Wall Street Journal yang mengatakan ada bukti pesawat itu telah terbang selama beberapa jam selepas ia kali terakhir dikesan.

Dalam sidang media pada Khamis juga, Hishammuddin menafikan laporan awal rakaman satelit dari China yang menunjukkan objek di Laut China Selatan yang berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat MH370.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia yang membuat tinjauan ke kawasan berkenaan kemudian mendapati laporan itu tidak benar. Kedutaan China juga kemudiannya memaklumkan imej satelit itu dikeluarkan tanpa kebenaran serta tidak menunjukkan serpihan daripada MH370.

Bekas juruterbang berpengalaman Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain sebelum ini berkata Lautan Hindi adalah kawasan laut yang paling bergelora kerana kawasan perairannya yang luas dan tidak dihimpit oleh daratan, berbanding kawasan laut lain.

"Ini adalah kawasan yang paling sunyi di dunia. Sangat sedikit kapal dan pesawat yang lalu di situ. Ombaknya kuat dan angin kencang. Sekiranya pesawat hilang di situ, peluang untuk menemuinya sangat tipis," katanya. sumber

0 Response to "#MH370: PENTAGON JUMPA PETUNJUK PESAWAT TERHEMPAS DI LAUTAN HINDI"

Post a Comment