#MH370: PENOLONG PENGARAH UTUSAN PERCAYA CIA DALANG DI SEBALIK INSIDEN MH370



Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein, dalam tulisannya tidak menolak kemungkinan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac itu angkara Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya lagi, jika serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 dirancang oleh CIA, maka tidak mustahil kehilangan pesawat MH370 itu juga dapat dikaitkan dengan agensi risikan itu.

“Marilah kita berfikir di luar kotak mengenai tragedi paling besar bagi negara kita dan sejarah penerbangan dunia.

 


 


"Apakah tidak boleh diterima akal misalnya tragedi ini dirancang oleh pihak tertentu untuk menjejaskan hubungan dengan China?

“Konspirasi peringkat tertinggi melibatkan CIA dalam tragedi 11 September bukan perkara baru. Banyak fakta dan hujah yang meyakinkan dibentangkan.

"Banyak pihak menerima hakikat 11 September adalah rancangan AS untuk mendapat 'tiket' menyerang Afghanistan dan Iraq,” katanya menerusi akhbar edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia.

Ku Seman berkata Malaysia perlu menaruh rasa curiga dengan pihak luar yang ada sejarah liarnya, bertujuan mengeruhkan hubungan dua hala dengan negara China.

Katanya, konspirasi 11 September yang dianggap karut kini menjadi satu fakta dan pihak berkuasa perlu melihatnya daripada perspektif berbeza.

“CNN kelihatan begitu beremosi apabila Malaysia tidak membenarkan CIA mengetuai pencarian pesawat MH370.

"Kemudian bertindak menyemarakkan kemarahan keluarga penumpang warga China hingga menggugat hubungan Malaysia - China.

“Tidak semua pandangan yang dianggap karut hanya teori konspirasi kosong semata-mata. Saya percaya pihak berkuasa tidak anggap semuanya karut. Mereka lebih bijak daripada CIA.” katanya.

Mengambil contoh insiden 11 September, Ku Seman mempersoalkan bagaimana CNN berjaya merakam WTC runtuh dalam tempoh beberapa saat.

Katanya, dalam satu undian menjelang Pilihan Raya AS 2006, satu daripada tiga rakyat AS percaya tragedi itu dirancang oleh George W Bush dan peringkat tertinggi CIA.

“CNN antara alat perang psikologi bagi mencapai agenda AS menguasai dunia. Cuba bertanya, bagaimana jurukamera CNN mendapat shot daripada pelbagai sudut menara WTC ketika dirempuh oleh pesawat?

Serangan itu berlaku dalam masa "hanya beberapa saat", tetapi CNN sempat merakamkannya daripada pelbagai arah. Wah, sungguh luar biasa.

Soalnya adakah jurukamera CNN sudah bersedia di sekeliling WTC? Kalau benar begitu, bagaimana mereka tahu serangan itu akan berlaku?” katanya.

Perancangan jahat dan keji kuasa besar



Dan jika benarlah andaian bahawa terdapat kuasa besar terlibat dalam misteri kehilangan MH370, maka Malaysia tidak mampu membuat keputusan sendiri selain hanya bergantung kepada arahan dan petunjuk negara tersebut.

Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar berkata, kapasiti Malaysia sebagai sebuah negara dan kuasa kerdil akan mudah dimanipulasi oleh negara kuasa besar tersebut.

“Kita juga diberitakan terdapat penglibatan kuasa besar, seandainya benar, mereka saja yang lebih tahu dan akan mencorakkan misi pencarian ini selain tidak mendedahkan secara terperinci maklumat berkenaan kehilangan MH370 kepada Malaysia.

“Jadi amat sukar untuk Malaysia mencari penyelesaian berikutan maklumat tidak tepat ini sehingga menjerumuskan negara ke dalam situasi dilema seperti sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, keputusan tidak memberangsangkan hasil usaha mencari dan menyelamat juga kemungkinan berpunca daripada fakta yang disembunyikan oleh kuasa besar tersebut.

“Usaha pencarian dilihat agak buntu kerana dibayangi oleh negara kuasa besar yang hanya memberikan cebisan maklumat kepada kita. Kerana itu, usia pencarian yang kini masuk tempoh sebulan masih belum menemui apa-apa,” katanya.

Menurutnya, kuasa besar tersebut tidak akan mendedahkan perancangan sulit mereka dalam misteri kehilangan MH370, sebaliknya akan cuba mempermainkan isu menyalahkan Malaysia seperti yang dilakukan media asing kini. -SH

Amerika Syarikat berang dituduh RAMPAS Pesawat MH370



Seorang bekas duta AS ke Malaysia John Mallot menyelar akhbar Utusan Malaysia kerana menyiarkan satu tulisan menggemparkan yang membangkitkan spekulasi bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) negara itu mendalangi kes kehilangan pesawat MH370.

"Ini satu lagi contoh bahawa Utusan menjadi bahan jenaka dalam kewartawanan Malaysia, yang menulis dengan rekaan, teori konspirasi, paranoia, dan perkauman," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga presiden Umno perlu menjelaskan sekiranya akhbar milik parti tersebut akan dibiarkan begitu sahaja susulan penyiaran tulisan "tidak masuk akal" itu.

Katanya lagi, Washington tentunya akan menunggu tindakan Najib dalam isu ini memandangkan presidennya Barack Obama juga akan melawat Malaysia dalam rangka lawatannya ke wilayah ini.

"Utusan bukan calang-calang akhbar. Ia dimiliki oleh Umno, parti pemerintah Malaysia, yang mana presidennya adalah Najib Razak.

"Umno dan presidennya secara turun temurun memberi bimbingan redaksi dan seliaan ke atas Utusan.

"Jadi, apa kata anda, Najib? Anda akan mengalu-alukan kedatangan Presiden Obama ke Malaysia. Anda akan biarkan kenyataan tidak masuk akal ini dipertahan dalam akhbar anda?

"Adakah anda akan membuat kenyataan - dan mengutuk karut marut ini - sebelum Obama tiba?" soalnya. -Yahoo.Malaysia sumber

0 Response to "#MH370: PENOLONG PENGARAH UTUSAN PERCAYA CIA DALANG DI SEBALIK INSIDEN MH370"

Post a Comment