BUTTERWORTH: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di belakang restoran makanan laut di persisiran Pantai Bersih di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kesemua suspek berusia 20-an itu ditahan di Butterworth beberapa jam selepas mayat mangsa ditemui jam 11 pagi ini.
"Motif kejadian dipercayai berkaitan dengan seorang daripada suspek yang ditahan tidak berpuas hati dan marah dengan mangsa kerana bercinta dengan adik perempuannya berusia 20-an.
"Berikutan itu, suspek bersama-sama enam hingga tujuh rakannya disyaki bertindak memukul mangsa di tempat kejadian lewat malam tadi, dan kami turut menemui kayu yang digunakan mereka," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata polis kini memburu beberapa lagi rakan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul itu memang tinggal di sekitar Butterworth dan usaha mengesan mereka giat dijalankan," katanya.
Dalam kejadian itu, B. Muniandy, 37, ditemui mati dengan beberapa kesan luka di dahi dan jari selain lebam di dada serta rusuk kanan.

0 Response to "Pemuda India Dipukul Mati Selepas Mengorat Adik Samseng"
Post a Comment