Penduduk Yi’an yang mendengar bunyi letupan kuat pada awal pagi semalam tidak menyangka ia sebenarnya mungkin petanda kawasan itu ‘dilawati’ objek dari angkasa lepas.
Pegawai kerajaan tempatan semalam berkata, beberapa penduduk Mengchang mendakwa bunyi itu didengar kira-kira jam 6 pagi (waktu tempatan).
“Apabila mendongak, mereka melihat ada bebola api meluncur dan jatuh ke arah kebun sayur-sayuran,” katanya.
Selepas diselidiki, kata pegawai terbabit, penduduk menemui tiga objek aneh di tiga kawasan berasingan di situ.
Berdasarkan gambar dirakamkan penduduk, objek berkenaan berbentuk seperti bola besi yang sebahagiannya di ditutupi lapisan bergerigi.
“Dua lagi objek serupa dilihat jatuh dari langit ke arah daerah Baiquan yang bersebelahan,” katanya.
Media tempatan melaporkan, satu daripada objek misteri itu mempunyai diameter 70 sentimeter dan berat kira-kira 40 kilogram.
Kedua-dua kawasan itu sudah ditutup dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.
0 Response to "Penduduk Gempar, Kebun Sayur Dilawat 'UFO'"
Post a Comment