Tahap Radiasi Menara Pemancar Telekomunikasi Di Malaysia Rendah Dan Selamat

Tahap Radiasi Menara Pemancar Telekomunikasi Di Malaysia Rendah Dan Selamat

Tahap radiasi daripada pancaran frekuensi radio (RF) direkodkan sekitar menara telekomunikasi di seluruh negara adalah amat rendah dan berada pada tahap selamat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata ujian dijalankan Agensi Nuklear Malaysia mendapati tahap radiasi daripada pancaran RF juga mematuhi Standard Mandatori bagi Emisi Elektromagnet (EMF) daripada Struktur Radio Komunikasi yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ia tidak membawa risiko kesan kesihatan kepada masyarakat sekitar termasuk golongan warga tua dan kanak-kanak," katanya menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang ingin tahu sama ada kementerian membuat pemantauan berkala untuk mengukur tahap radiasi pencawang telekomunikasi termasuk yang dipasang di kawasan sekolah.

Jailani berkata, ujian pensampelan di sekolah sekitar Perak, Johor dan Kuala Lumpur oleh Agensi Nuklear dan Kementerian Pendidikan juga mendapati kadar purata radiasi daripada pancaran RF adalah sekitar 0.0002 watt per meter persegi.

"Tahap ini adalah selamat dan mematuhi standard mandatori yang ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata setakat Oktober 2014, kadar penembusan telefon selular negara mencapai 143.7 peratus dengan 43.1 juta langganan.

Bagi tempoh sama, katanya kadar penembusan jalur lebar isi rumah Malaysia mencapai 67 peratus dengan jumlah langganan sebanyak 6.4 juta.

"Dengan ini, negara memerlukan 7.9 peratus lagi untuk mencapai sasaran 75 peratus penembusan jalur lebar isi rumah menjelang 2015," katanya.

- BERNAMA

0 Response to "Tahap Radiasi Menara Pemancar Telekomunikasi Di Malaysia Rendah Dan Selamat"

Post a Comment