Nor Farhan (Ben 10) Mahu Rebut Kesebelasan Utama



Kota Bharu: Bekas penyerang sensasi Terengganu Mohd Nor Farhan Muhammad akan berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan Kelantan sekalipun sedar terpaksa bersaing dengan pemain sedia ada termasuk import.

Pemain itu yang menyarung semula jersi Kelantan selepas meninggalkan pasukan tahun lalu, berikrar memberi persembahan terbaik bagi memikat hati ketua jurulatih Kelantan, George Boateng.

Katanya, peluang untuk diserapkan kesebelasan utama agak terjejas kerana mutu permainan Mohd Fakri Shaarani dan Mohd Khairul Izuan Rosli semakin meningkat, selain kehadiran dua penyerang import berbisa, Emmanuel Kenmogne dari Cameroon dan Erwin Carrillo (Colombia).

Namun anak jati Wakaf Tapai, Terengganu itu yang lebih dikenali Ben10 sentiasa positif dan terbuka, malah menganggap Boateng memiliki strategi dan perancangan tersendiri dalam membuat pemilihan.

“Kelantan sebuah pasukan unik selain turut memiliki jumlah penyokong ramai di Malaysia yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Sebab itu, saya semangat untuk bermain kerana sorakan mereka menguatkan semangat dan menjadikan saya lebih berdaya saing,” katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani latihan di Padang Mardi, dekat Kota Bharu, semalam.

Pemenang Anugerah Penyerang Terbaik Kebangsaan 2014 itu berkata, setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing dan mereka hanya perlu menterjemahkan di atas padang bagi meyakinkan jurulatih.

Katanya, misinya musim ini adalah cuba mengembalikan semula kegemilangan Kelantan yang pernah menjadi juara Piala FA dan Piala Malaysia pada 2011 hingga 2013.

“Saya selesa sepanjang menjalani latihan di bawah kendalian Boateng yang tegas serta penuh berdisiplin di padang, namun bertukar menjadi ‘pelawak’ sebaik selesai sesi latihan,” katanya.



sumber: trwlegacy

Related Posts :

0 Response to "Nor Farhan (Ben 10) Mahu Rebut Kesebelasan Utama "

Post a Comment