SUNGAI SIPUT - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan pada April tahun ini memaksa beberapa peruncit menutup perniagaan mereka walaupun sudah lebih 70 tahun berniaga di situ.
Meskipun itu bukan alasan utama, namun pelaksanaannya menyebabkan peniaga berkenaan membuat keputusan menutup perniagaan lebih awal.

Hwa Kein berdiri di hadapan kedai keluarganya di pekan Sungai Siput yang bakal ditutup tidak lama lagi
Mereka berkata, usia tua selain tiada pewaris juga menjadi faktor utama mereka melelong barang jualan sebelum menghentikan perniagaan.
Perniaga, Lee Kam Chong, 85, berkata, perniagaan yang diusahakan sejak lebih 70 tahun lepas terpaksa ditutup selepas jualannya merosot saban bulan.
Menurutnya, dia dan isteri bercadang menutup kedai pada hujung tahun namun terpaksa mengawalkannya kerana tidak mahu terbeban dengan GST yang bakal dilaksanakan.
“Kita perlu menggunakan komputer dan teknologi lain untuk pangkalan data bagi GST. Kami pastinya menghadapi masalah dengan perkara itu.
“Umur kami sudah tua manakala mata sudah tidak nampak. Apabila kena guna komputer, macam mana kita mahu buat?" katanya.
Kang Chong berkata, punca dia berhenti berniaga kerana faktor usia dan kesihatan yang tidak mengizinkan tetapi tidak menolak pelaksanaan GST.
Manakala peniaga, Chan Hwa Kein, 36, berkata, perniagaan kedai runcit milik bapanya terpaksa ditutup disebabkan faktor yang sama.
Katanya, dia menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan harga barang akan naik disebabkan pelaksanaan GST pada tahun ini.
"Pelaksanaan cukai itu bukan sebab utama bapa menutup perniagaan tetapi kerana persaingan semakin sengit terutamanya daripada pasaraya baru di sini.
“Bukan semua barang akan kena cukai tersebut, hanya barang tertentu tetapi ada orang yang tidak faham dan mula cerita bukan-bukan. Cuma aplikasi komputer yang perlu digunakan memberi sedikit masalah kepada warga emas,” katanya.
Hwa Kein, dia sedih apabila kedai runcit yang diusahakan sejak 80 tahun lalu terpaksa ditutup selepas perniagaan mereka merosot sejak beberapa tahun lalu.
“Memang sedih bila terpaksa tutup kedai namun apa kita boleh buat? Kalau buka pun, kita terpaksa tanggung rugi.,” katanya.
sumber: sinarharian
0 Response to "Peruncit Tutup Kedai Elak GST Walaupun Sudah 70 Tahun Berniaga"
Post a Comment