Ahli Kongsi Gelap Maut Ditembak Di Banting


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah (tengah) pada sidang media di IPK Shah Alam hari ini. – Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM Seorang lelaki yang juga ahli kumpulan kongsi gelap maut selepas ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Utama 4, Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Banting, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena beberapa das tembakan di bahagian badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata mangsa yang memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju ke rumahnya selepas bertemu beberapa orang rakan sebelum kejadian.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa didatangi individu tidak dikenali lalu mereka melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya sebelum melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan setakat ini dua lelaki berusia 26 hingga 29 tahun sudah ditahan awal pagi tadi di sekitar Banting untuk membantu siasatan, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini. -BH Online



0 Response to "Ahli Kongsi Gelap Maut Ditembak Di Banting"

Post a Comment