Datuk Seri G. Palanivel Semakin Pelik




Tindakan undang-undang ke atas Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang akan diambil Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel disifatkan sebagai pelik kerana tidak pernah berlaku dalam negara ini seorang anggota Kabinet mencabar agensi kerajaan di mahkamah.



Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, lagi pun dalam sepanjang sejarah parti, MIC tidak pernah ke mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian seperti yang hendak dilakukan Palanivel.



“Justeru, kami tidak bersetuju Palanivel mengambil tindakan undang-undang. MIC tidak pernah ke mahkamah. Cuma jika Presiden mahu mengambil tindakan undang-undang mengikut kehendak beliau sebagai individu, kita tidak ada halangan.



“Namun beliau kena faham parti ada Perlembagaan,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini..



Sementara itu, menurut Saravanan, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sementara MIC akan mengadakan mesyuarat kali kedua dalam masa terdekat bertujuan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menghadapi pemilihan semula parti.



Beliau bagaimanapun berkata, tarikh dan masa mesyuarat tersebut akan diadakan masih belum ditetapkan.



“CWC sementara parti telah mengadakan mesyuarat pertama pada 13 Februari lalu dan sebulat suara bersetuju menerima arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula parti.



“Jadi, dalam mesyuarat kedua ini, kami akan melantik jawatankuasa pemilihan untuk mengendalikan proses pemilihan semula parti. Selepas selesai ini, satu lagi mesyuarat akan diadakan bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk mendapatkan mandat daripada para perwakilan MIC,” katanya.



Jelas Saravanan, kedua-dua mesyuarat yang diadakan setakat ini adalah selaras dengan arahan ROS dan bukannya tidak sah seperti didakwa oleh mana-mana pihak termasuk Palanivel.



“Kami hanya ikut apa diarahkan ROS dan mesyuarat terdahulu juga dibuat mengikut arahan pihak ROS, tidak timbul soal sah atau tidak,’’ katanya.



Beliau berkata, Palanivel juga harus tampil membuat surat akuan bersumpah menafikan dakwaan wujudnya cawangan baharu pada pemilihan parti yang lalu sebelum mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS.



Diminta mengulas cadangan penubuhan sekretariat khas bagi membantu MIC menjalankan proses pemilihan semula parti, Saravanan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan sebarang campur tangan mana-mana pihak pada ketika ini.



“Kami yakin boleh menyelesaikan masalah ini dengan baik. Krisis seperti ini bukan perkara baharu dalam politik. Parti mana yang tidak pernah ada masalah seperti ini. Jadi jangan bagi gambaran seolah-olah MIC teruk,” katanya.



Sementara itu, Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan tidak menolak kemungkinan akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan semula parti yang dijangka diadakan pada Jun ini.



Sumber

0 Response to "Datuk Seri G. Palanivel Semakin Pelik"

Post a Comment