"MENGAPA persoalkan isu fair play terhadap kami sedangkan mereka sendiri tidak bermain secara bersih."
Demikian penjelasan ketua jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Bojan Hodak yang mempertahankan jaringan penyamaan pasukannya ketika mereka mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Menurut Hodak, gol penyamaan menerusi penyerang Import, Luciano Figueroa pada minit ke-63 itu tidak patut dipersoalkan kerana pada waktu itu skuad Harimau Selatan dalam situasi menyerang dan ia adalah sesuatu yang tidak harus dihentikan hanya kerana seorang pemain lawan mengalami kecederaan.
Malah kata Hodak, sebelum gol penyamaan itu hadir, pemain Selangor juga sering melambat-lambatkan permainan dengan berlakon mengalami kecederaan terutama pada babak pertama, sekali gus membuatkan pemain Johor DT enggan memberhentikan permainan kerana tidak mahu membuang masa.
"Saya bertanyakan kepada pemain mengapa mereka enggan membuang bola keluar (ketika pertahanan Selangor, Azmi Muslim cedera), mereka beritahu bahawa mereka ingat pemain itu hanya berlakon mengalami kecederaan bagi membuang masa.
"Sejujurnya, mungkin Azmi memang cedera pada waktu itu tetapi kami berada dalam situasi menyerang dan mempunyai peluang terbaik menghasilkan jaringan.
"Jadi, ia sesuatu yang tidak perlu dilepaskan, malah mana-mana pasukan pun akan melakukan perkara yang sama jika pasukan lawan cuba berlakon dan melambat-lambatkan permainan," kata Hodak kepada Kosmo! semalam.
Jurulatih dari Croatia itu turut memberitahu bahawa keputusan memberhentikan permainan itu juga terletak di tangan pengadil perlawanan dan jika pengadil tidak memberhentikannya ia bermakna kecederaan pemain tersebut tidak serius.
"Pemain Selangor banyak membuang masa dengan berlakon mengalami kecederaan selepas mereka mendahului 1-0 pada babak pertama, jadi apakah ini fair play bagi mereka?" tegas Hodak lagi.
Penjelasan Hodak itu ditujukan kepada jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic yang mempertikaikan semangat kesukanan pasukan Harimau Selatan selepas enggan memberhentikan permainan ketika pemainnya mengalami kecederaan, sekali gus menyebabkan The Red Giants bolos dan terlepas peluang meraih kemenangan.
Pada aksi tersebut, Johor DT ketinggalan 0-1 selepas pemain import Selangor, Andik Vermansyah menjaringkan gol terpantas dalam saingan liga setakat ini, iaitu 35 saat selepas permainan dimulakan sebelum jaringan itu disamakan oleh Figueroa pada babak kedua.
0 Response to "Fair Play: Pemian Selangor Ramai Yang Berlakon"
Post a Comment