Kegembiraan seorang warga emas setelah empat bulan menunggu untuk mengikuti kuliah agama pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias tidak kesampaian apabila meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung di sini hari ini.
Lebih menyedihkan, Lat Senawi, 75, dari Kampung Bahagia, Kuala Perlis yang datang menaiki bas dengan rombongan seramai 40 orang, meninggal dunia pada pukul 8.20 pagi ketika baru sahaja tiba di lokasi ceramah di Kediaman Menteri Besar di sini.
Anak saudara mangsa, Radziah Ali, 50, memberitahu rombongan bertolak dari Kuala Perlis pada pukul 12 pagi ini dan tiba di sini pada pukul 8.10 pagi.
Menurutnya, sebaik sahaja ibu saudaranya turun dari bas dan menuju ke kerusi peserta untuk duduk, dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri dipercayai diserang sakit jantung.
Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan ibu saudaranya sudah meninggal dunia dan jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Kami merancang mengadakan rombongan ini sejak empat bulan lalu. Arwah sangat gembira apabila dapat menyertai rombongan untuk menghadiri kuliah Ustaz Kazim buat pertama kali.
“Dia selalu menyatakan hasratnya untuk menghadiri serta mendengar sendiri secara langsung kuliah Ustaz Kazim,” katanya ketika ditemui di sini.
Kuliah mingguan Mohd. Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim hari ini dihadiri lebih 4,000 orang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ustaz Kazim turut menziarahi jenazah warga emas itu di HRPB.
Sementara itu, Ustaz Kazim menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
Menurutnya, beliau terharu dengan kesudian warga emas itu untuk menghadiri kuliahnya kerana sanggup datang dari Kuala Perlis.
“Pemergiannya secara baik dengan niat yang baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, jenazah disembahyang di Pusat Pendidikan Al Barakah, Kampung Manjoi yang dikendalikan oleh Ustaz Kazim sendiri sebelum dibawa ke Kuala Perlis untuk pengebumian.
Semua kos pengurusan jenazah dan pengangkutan dibiayai melalui sumbangan peribadi Zambry.
0 Response to "Kempunan Tak Dapat Jumpa Ustaz kazim"
Post a Comment