Peranan Media Massa Sebar Maklumat Tepat Kini Lebih Penting

Mikhail Gusman

KUALA LUMPUR Peranan dan tanggungjawab media massa yang hanya menyebarkan maklumat tepat dan benar, kini menjadi lebih penting terutama ketika dunia dilanda pelbagai peristiwa yang bukan sahaja meragut nyawa orang awam, tetapi juga wartawan yang menjalankan tugas profesional masing-masing, demikian Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) ke-38 diberitahu di sini hari ini.

Presiden OANA Sergey Mikhaylov, dalam ucapan pembukaannya, berkata kebolehpercayaan dan keikhlasan adalah ciri yang disanjung tinggi di semua negara dan pada setiap masa.

Kejujuran adalah sifat yang amat mulia, kata Mikhaylov dalam ucapannya yang dibacakan Setiausaha Agung OANA Mikhail Gusman.

Mesyuarat itu yang dihoskan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dihadiri kira-kira 40 ketua pegawai eksekutif serta pegawai tinggi dan anggota lembaga eksekutif OANA.

Mikhaylov berkata sepanjang lebih 50 tahun kewujudannya, OANA memberi sumbangan ketara ke arah memupuk hubungan rapat antara 44 agensi berita Asia Pasifik dari 35 negara, dalam melaksanakan pelbagai tugas sosial dan budaya.

Bercakap kepada Bernama kemudian, Gusman berkata mesyuarat hari ini memaklumkan bahawa kolaborasi dan kerjasama dalam kalangan negara anggota OANA bukan sahaja wujud pada mesyuarat rasmi, tetapi juga secara tidak rasmi.

Beliau juga menyentuh tentang cabaran baharu yang dihadapi agensi berita berikutan kemunculan teknologi baharu.

Kita perlu bekerjasama mengenai bagaimana kita boleh mendapatkan jawapan untuk menghadapi cabaran baharu ini. Ini sangat penting, kata Gusman.

Agensi berita yang menyertai mesyuarat itu ialah TASS dari Rusia, Xinhua (China), Yonhap (Korea Selatan), Antara (Indonesia), Emirates News Agency (WAM), Vietnam News Agency (VNA), Bahrain News Agency (BNA), IRNA (Iran), Anadolu (Turki), Mehr News Agency (MNA) dari Iran, MONTSAME News Agency (Mongolia), Australian Associated Press (AAP), AzerTAc (Azerbaijan) dan INA kazinform (Kazakhstan).

OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mewujudkan pertukaran berita secara terus dan bebas antara agensi berita di rantau yang didiami lebih separuh daripada jumlah penduduk dunia. -BERNAMA

0 Response to "Peranan Media Massa Sebar Maklumat Tepat Kini Lebih Penting"

Post a Comment