MADRID - Penyandang juara Real Madrid tidak menjangkakan pesta gol akan berulang apabila mereka menentang Schalke 04 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-juara hari ini, selepas menang besar musim lalu.
Malah pemain tengah Real, Toni Kroos turut melaungkan amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah pasukan dari Jerman itu dalam kunjungan ke Veltins-Arena, Gelsenkirchen. Pengendali Real, Carlo Ancelotti sekali lagi menyandarkan harapan kepada Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema untuk membolosi gawang lawan.
Trio berkenaan telah menjaringkan dua gol setiap seorang ketika membantu Real melakar kemenangan besar 6-1 ke atas Schalke pada peringkat yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, prestasi Pemain Terbaik Dunia, Ronaldo menimbulkan tanda tanya sejak akhir-akhir ini selepas dia sekadar menjaringkan empat gol tahun ini. Kapten Portugal itu juga gagal menyengat ketika Real menewaskan Deportivo La Coruna 2-0 dalam aksi La Liga Sabtu lalu.
“Kami berada di kedudukan teratas La Liga dan kami juga adalah juara bertahan Liga Juara-juara Eropah.
“Saya mengakui, prestasi kami tidak begitu baik pada 2015, namun saya sentiasa berharap pasukan ini mampu mengembalikan semula kecemerlangan terutama dalam aksi Liga Juara-juara,” kata Ancelotti.
Sementara itu, Schalke yang ketika ini berada di anak tangga keempat Bundesliga berharap, penyerang Belanda, Klaas-Jan Huntelaar yang terlepas sesi latihan minggu lalu akibat jangkitan virus dapat kembali cergas untuk menentang Real.
“Dia adalah penyerang kami yang hebat dan saya amat gembira sekiranya dia dapat beraksi menentang Real.
“Tiada apa yang perlu kami bimbangkan kerana jika kami terus bermain secara konsisten maka peluang kami untuk menang ke atas Real pasti lebih besar.
“Sasaran utama kami ketika ini adalah untuk mendapatkan kemenangan dalam aksi di laman sendiri,” kata pemain tengah Schalke, Tranquillo Barnetta.
0 Response to "Real Tak Sangka Berpesta Gol"
Post a Comment