Wanita sering dilabel sebagai 'pelacur politik' apabila mereka mengambil keputusan menceburi bidang politik, kata aktivis muda DAP Syefura Othman.
Ia merupakan salah satu faktor tidak ramai wanita yang ingin menceburi bidang tersebut disebabkan gelaran yang akan dilabelkan umum.
"Ada rupa, berperwatakan menarik dan kemudiannya menceburi bidang politik, dan kemudian dilabelkan sebagai pelacur politik.
"Disebabkan persepsi orang (umum), wanita khususnya golongan muda, takut ke depan untuk bersuara.
"Mereka (wanita) takut kerana mereka perlu berlawan dalam politik yang didominasi kaum lelaki," katanya pada forum sempena Hari Wanita, ' Cabaran Wanita Malaysia Pada Masa Kini' di Rumah Gerakbudaya, Petaling Jaya malam tadi.
Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac.
Oleh itu, Syefura, 26, juga dikenali sebagai Rara berkata hak kesamarataan di Malaysia masih belum dicapai kerana kurangnya suara wanita dalam politik.
Katanya, sama ada dalam sektor swasta, kerajaan mahupun politik, tidak mengira parti, perlu memberi ruang kepada wanita untuk bersuara.
"Tidak kira parti apa pun, mereka perlu memberi ruang pada wanita untuk bertanding.
"Bagaimana hendak mencapai kesamarataan itu kalau suara wanita masih kurang? Contohnya, DAP sendiri bercadang supaya 30% suara wanita perlu ada," katanya.
Dalam forum itu, Syefura turut menyelar dakwaan yang beliau dijadikan sebagai 'tokenisme' untuk parti DAP.
"Mungkin ia terjadi secara kebetulan dan mungkin juga kami memerlukan satu sama lain.
"Pada asalnya saya menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengikut demonstrasi jalanan dan kemudian saya menyertai parti. Saya tidak katakan DAP menggunakan saya sebagai token," katanya.
Katanya, beliau menggunakan DAP sebagai platform baginya sebagai seorang wanita muda untuk menyumbang sesuatu pada rakyat.
"Contohnya seperti sekarang, saya menjadi koordinator untuk acara di Kelantan di mana mereka (DAP) menghantar saya ke Kelantan untuk buat kerja.
"Bukan sekadar untuk jual muka dan masuk surat khabar semata-mata," katanya.
Sebelum ini, keputusan Syefura menjadi ahli seumur hidup parti tersebut menjadi bualan hangat umum apabila orang ramai memberi pelbagai reaksi terhadap wanita muda yang tampil dengan imej bertudung tetapi memilih DAP, parti yang lebih sinonim dengan kaum Cina.
Namun, Syefura sebelum ini berkata beliau tidak pernah melihat DAP sebagai parti Cina sebaliknya mengagumi polisi parti berkenaan yang disifatkan begitu terbuka dan stabil berbanding PKR mahupun PAS.
-The Malaysian Insider
0 Response to "Dilabel ‘Pelacur Politik’, Wanita Takut Ceburi Politik - Syefura Othman"
Post a Comment