Afgan bikin penonton histeria !




SEJAK pengumuman rasmi mengenai Konsert Suara Hati Afgan tersebar lebih kurang sebulan lalu, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan sendiri kehebatan penyanyi kesayangan mereka ini.

Ternyata, kesungguhan peminat bukan hanya janji palsu malah terbukti apabila tiket konsert telah habis terjual beberapa hari sebelum ia berlangsung biarpun harga tiket yang ditawarkan bukanlah calang-calang.

Jaminan persembahan terbaik yang diberikan penyanyi berasal dari Jakarta, Indonesia ini juga berjaya meyakinkan peminatnya untuk memenuhi Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam Jumaat lalu.

Tepat jam 8.45 malam konsert anjuran Netzah Production ini mula membuka tirai dengan persembahan penyanyi baharu Natasha Sass dengan lagu Fight Song dipopularkan oleh Rechel Platten dan Matahari nyanyian Agnes Monica.

Kehangatan mula terasa apabila nama Afgan telah diundang untuk memulakan persembahan bermula jam 9.00 malam.

Suasana dewan mulai riuh dengan jeritan penonton memanggil nama penyanyi tampan itu.

Tampil energetik, Afgan menarik ‘mood’ penonton dengan persembahan lagu-lagu ‘catchy’ seperti Pesan Cinta, Katakan Tidak, Tak Peduli Betapa Aku Cinta Padamu, Dia Dia Dia dan Where Are You Now nyanyian Justin Bieber.

Tidak hanya menyanyi, Afgan turut menghiburkan penonton dengan tarian yang bersahaja sekali gus menjadikan persembahan ketika itu sungguh luar biasa.



Sempat berinteraksi bersama penonton di dewan, Afgan meluahkan rasa terharu melihat sokongan yang diberikan peminatnya di negara ini.

“Mimpi saya telah menjadi kenyataan. Saya sangat berhutang budi dengan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya.

“Saya berjanji akan menjadikan malam ini malam yang perlu diingati dengan persembahan berbentuk luahan suara hati saya untuk semua peminat saya di sini,” luahnya ketika konsert berlangsung.

Tidak berlengah, Afgan menyambung persembahannya dengan menerusi segmen cinta dengan lagu-lagu yang menyentuh jiwa penonton seperti Entah, Cinta Dua Hati, Bawalah Cintaku, Sabar dan Sadis.

Bersikap prihatin, Afgan membuat persembahan tribute insiden yang berlaku di Tanah Suci, Mekah baru-baru ini dengan lagu Padamu Ku Bersujud.

Vokal mantap yang dipamerkan penyanyi berusia 26 tahun ini juga berjaya mencairkan hati penontonnya dan tidak hairanlah dia digelar Artis Terbaik Asian 2014 yang diraih pada Anugerah Festival Muzik Pop Asian 2014.


Kejutan Shiela Majid

Biarpun perancangan teliti telah dilakukan, namun Afgan tidak terlepas daripada menerima kejutan apabila persembahannya pada malam itu turut disaksikan oleh penyanyi idolanya, Datuk Sheila Majid.

“This is the ultimate dream come true! Terima kasih Datuk Sheila, anda antara idola saya. Sejak kecil saya sudah dengar lagu anda.

“Moga satu hari nanti kita bisa berduet, saya teringin sekali!,” jerit Afgan dengan nada teruja.

Tidak hanya menyampaikan lagu-lagu nyanyiannya, Afgan turut menyelitkan persembahan madley lagu hit penyanyi dari Malaysia seperti Terukir Di Bintang (Yuna), Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Warna Warna (Shiela Majid) di mana Afgan sempat menuju ke arah Shiela untuk menyanyi bersama.

Suasana dewan kembali hangat apabila Afgan memberi beberapa klu untuk mengundang seorang penyanyi yang cukup rapat dengannya iaitu Rossa menyanyikan lagu duet Kamu Yang Ku Tunggu.

Pada acara kemuncak, penyanyi berlesung pipit ini tidak lupa menyampaikan seleksi lagu wajib seperti Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu dan Terima Kasih Cinta.

Menganggap suasana konsert kali ini lebih bersifat peribadi, Afgan akui berpuas hati dengan persembahannya pada malam itu.

“Apa yang berlaku malam ini berada di luar jangkaan dan saya sangat berpuas hati kerana ini adalah pencapaian terbaik saya sepanjang tujuh tahun bergelar penyanyi.

“Malam ini saya rasa lebih rapat dengan peminat di mana saya cuba berkongsi tentang perjalanan hidup saya dan mereka memberi reaksi yang baik.

“Tambahan pula kehadiran idola saya pada malam ini (Shiela Majid) benar-benar buat saya terkejut dan terharu.

“Insya-ALLAH, jika ada peluang saya mahu mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil pula,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert.



0 Response to "Afgan bikin penonton histeria ! "

Post a Comment