Bermula Isnin, pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diberi kebenaran memutuskan penutupan sekolah sekiranya jarak penglihatan kurang daripada 500 meter.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebelum ini penutupan sekolah di kawasan yang dilanda jerebu hanya diputuskan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200, iaitu bacaan kualiti udara pada paras sangat tidak sihat.
"Saya telah berbincang dengan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar semalam dan memutuskan selain bacaan IPU, jarak penglihatan juga boleh diambil kira dalam menentukan penutupan sekolah.
"Maknanya, walaupun bacaan IPU masih di antara 100 ke 120, tetapi jarak penglihatan di sesuatu kawasan itu sudah di bawah paras 500 meter kita benarkan PPD dan Guru Besar membuat keputusan menutup sekolah," katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Berikutan kualiti udara semakin buruk dengan IPU mencatatkan bacaan pada paras sangat tidak sihat, Kementerian Pendidikan pada Ahad mengumumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan serta di Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak diarah tutup pada Isnin.
Mahdzir berkata sepanjang jerebu melanda, kementerian itu telah menetapkan pukul 2 petang setiap hari sebagai waktu untuk mengumumkan sama ada sekolah akan ditutup atau beroperasi seperti biasa untuk keesokkan harinya.
Mengenai permintaan waris pelajar supaya pengumuman penutupan sekolah dibuat sekali gus, seperti tiga atau empat hari sekali, beliau berkata perkara itu ada lojiknya tetapi kementerian mengambil kira pelbagai faktor antaranya kemungkinan perubahan pada bacaan IPU.
Yang lebih penting ibu bapa perlu tahu setiap pengumuman dibuat kementerian adalah berasaskan kepada apa yang akan berlaku esok, katanya.
0 Response to "Mahdzir Khalid: Sekolah Dibenar Tutup Jika Jarak Penglihatan Kurang 500 Meter"
Post a Comment