“Abang, laptop saya kena curi. Habis semua dokumen penting saya dalam tu. Dahlah nak guna minggu ini urgent pula tu.”
Berkerut kening lelaki berumur 35 tahun itu. Meletakkan fonnya. Panggilan tadi dari isterinya. Isterinya yang jarak umur 7 tahun darinya itu sedang menghabiskan penulisan tesisnya di peringkat sarjana di universiti.
Nak tak nak, pasangan itu terpaksa berjauhan. Berjumpa sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Si suami buka gerai makan kecil saja di kampungnya. Kerja sendiri. Oleh kerana isterinya ada degree, dia pula hanya sampai di peringkat diploma, lelaki itu mencadangkan isterinya sambung belajar. Peluang untuk isterinya itu mendapat kerjaya yang lebih baik mungkin lebih cerah. Itu yang terbaik pada hematnya.
“Ibu nak balik?”
Anak tunggal perempuannya yang berumur 5 tahun menyentuh tangannya. Tersentak seketika dari lamunan.
“Tak, ibu sibuk study. Sibuk baca banyak buku. Minggu depan, kita pergi jumpa ibu ya?”
Senyum sambil membelai rambut anaknya itu. Mujurlah anak kecil itu tidak banyak kerenahnya. Seolah-olah memahami ibunya bertungkus lumus berjuang menimba ilmu. Demi masa depan keluarga mereka.
“Mana aku nak cari duit seribu dua dalam masa satu minggu ni? Aduh.”
Kepalanya kusut seketika. Sudahlah jualan di gerainya itu akhir-akhir ini makin perlahan. Lokasi kedai dalam kampung pula tu. Sejak cukai dalam negara dinaikkan, semua barangan naik mendadak harganya. Secara tidak langsung, kos dan modal meningkat. Peniaga kecil sepertinya terbeban.
Mundar-mandir sendiri dalam rumah. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.
“Abah, peninglah tengok pusing-pusing.”
Anaknya mengomel. Mengusik hatinya.
“Abah exercise ni. Nak jadi hensem kenalah bersenam. Nak abah yang hensem tak?”
Dia mencubit manja pipi tembam anaknya. Geram. Comel sangat. Anaknya gelak-gelak sambil melarikan diri dari ayahnya itu.
Dalam kekalutan fikiran, mujurlah Allah anugerahkan si kecil itu menyejukkan hati dan perasaan. Dia melemparkan pandangannya ke halaman rumah. Matanya fokus pada motosikal EX5 miliknya. Hatinya berbisik, jualkan saja. Itu saja caranya untuk dapatkan wang segera. Nak harapkan duit dalam bank, memang tak mencukupi. Beberapa ratus saja yang ada. Nak pinjam dengan orang, segan pula rasanya. Lagipun, masih ada sebuah kereta Kancil untuk berulang-alik.
Lelaki itu membulatkan tekadnya.
Tunai sudah ada dalam tangannya. Tolak saja di kedai cina berhampiran. Mujur masih lekat harga dalam dua ribu. Cukuplah tu untuk beli sebuah laptop baru.
“Kita buat surprise kat ibu, nak? Jom kita gi jumpa ibu hari ini!”
Si kecil itu terlompat-lompat riang bila dengar nak jumpa ibunya. Pagi-pagi lagi, dua beranak itu dah siap-siap. Anaknya senyum saja dengan gaun merah jambunya. Duduk di seat sebelah ayahnya dengan tali keledar kemas dikenakan. Langsung tidak dimaklumkan pada si isteri, mereka akan pergi menemuinya di kampus. Perjalanan dalam empat jam merentasi negeri.
Dalam kereta, si ayah berborak dengan anaknya.
“Kamu nanti, kena jadi rajin macam ibu ya. Ibu pandai. Tak macam abah sekolah pun ponteng-ponteng. Belajar pun sekadar lulus saja.”
Anaknya tengok saja wajah ayahnya yang sedang memandu sambil berceloteh. Senyum dengan bibir mungilnya.
“Abah nak kamu jadi solehah macam Fatimah az-Zahra.”
Anaknya bertanya,
“Siapa tu?”
Ayahnya membalas lembut,
“Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Fatimah sebahagian daripadaku, dan barangsiapa yang menimbulkan kemarahannya juga menimbulkan kemarahanku.” Fatimah adalah anak Nabi s.a.w. yang paling bongsu. Nak tahu kenapa Rasulullah s.a.w. sayang sangat padanya? Sebab beliau perjuangkan Islam sebagaimana Rasulullah perjuangkan. Sayang kepada agama lebih dari segalanya.
Sayang sekali sama ayahnya.
Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud menyembah Allah SWT, dengan menangis sedih Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi sa.w. daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Quraisy.”
“Fatimah seorang yang suka belajar. Rajin menuntut ilmu dari ayahandanya. Apa yang ayahnya tak suka, dia benci sama. Apa yang ayahnya suka, dia turut cinta.”
Anaknya tersengih saja melihat ayahnya bercerita. Ayahnya mengerling geli hati melihat telatah anaknya yang sedikit terlopong. Entah faham, entah tidak.
“Sayang abah tak?”
“Sayang sangat!”
Hari sudah petang ketika kereta mini itu tiba di perkarangan asrama universiti. Si suami mendail nombor isterinya. Tanya isterinya di mana. Tanpa maklumkan mereka berdua telah sampai di sana. Isterinya membalas,
“Saya outing hari ini, bang. Pergi perpustakaan universiti. Tak ada di asrama.”
Suaminya itu sedikit hampa. Alang-alang dah datang, tunggu sajalah di garaj kereta. Berhampiran saja dengan asrama isterinya.
Seketika, anaknya melambai-lambai tangannya dari dalam kereta. Dia menjenguk sama.
“Ibu, ibu!”
Anaknya menunjuk-nunjuk jemarinya ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di hadapan asrama. Tak lama, tiba sebuah kereta Honda Civic Type-R berhenti betul-betul di sebelah isterinya.
Hatinya mulai berdebar-debar. Keluar seorang lelaki lagaknya seperti orang kerja pejabat. Segak bergaya. Buka pintu untuk isterinya masuk ke dalam kereta. Berlalu dari situ.
Suami tidak tunggu lama. Hidupkan kereta. Follow kereta tadi dari jarak agak jauh supaya tidak disedari. Dia cuba call isterinya. Oh. Fon si isteri telah dimatikan. Menyebabkan debaran jantungnya hampir tergendala.
Kedua-dua kereta itu telah pun sampai ke Genting Highland.
“Library apa di Genting Highland?!” Bentak hatinya yang sedang berkecamuk.
Parking jauh sikit sambil matanya tidak berkelip sikit pun dari mengintai sang isteri. Hatinya masih berharap, ini semua cuma sangkaan buruk hatinya. Mungkin isterinya ada kerja di situ.
Lelaki itu keluar dari kereta. Isterinya juga keluar sama. Si lelaki meraih tangan isterinya.
Berpegangan tangan. Seperti pasangan kekasih. Isterinya memaut lengan lelaki, melentokkan kepalanya sedikit di bahu.
Saat itu juga, jatuh menitik air mata si suami semahunya. Hanya Tuhan yang mengerti segala!
“Ini ke perpustakaan awak tu?!”
Pasangan sejoli itu berpaling ke arah suara yang menengking. Detik itu juga, tumbukan padu singgah di muka lelaki tak guna. Namun, tumbukan itu dibalas kembali bertubi-tubi. Lawannya itu lelaki sado. Lelaki sasa yang masih muda. Akhirnya yang rebah terkulai adalah dirinya sendiri.
Anak perempuannya berlari mendapatkan ayahnya. Menangis-nangis. Dalam terketar-ketar, si suami bersuara.
“Abang datang untuk berikan laptop yang awak minta. Datang dengan anak nak surprisekan awak, nak happykan awak, tapi tak sangka abang yang terima surprisenya!”
Isterinya itu membalas bongkak,
“Aku tak suruh pun kan datang hari ni?! Dahlah, aku dah tak nak kau lagi. Kita berpisah saja. Kau hantar aku masuk universiti, sebab nak aku yang sara keluarga lepas keluar universiti nanti? Eh, aku tak bodohlah.
Buat apa aku hidup dengan lelaki yang harapkan gaji isteri?! Kau sedarlah diri sikit. Lelaki yang kau serang ni yang banyak tolong aku di sini. Dia baik hati, tak kedekut macam kau. Kau hantar tiga empat ratus sebulan mana cukup? Kau ingat aku budak sekolah ke? Duk kat bandar tak macam kat kampung! Nak pakai duit banyak!
Laptop tu bukan kena curi pun. Aku sengaja nak kau bank-in duit, sebab alat kosmetik, supplements aku dah habis. Aku tak suruh pun kau belikan laptop baru. Lurus bendul la kau ni. Sudahlah. Jangan buat hal sini. Kita jumpa saja di mahkamah!”
Hancur lebur hati si suami mendengar kata-kata isteri kesayangannya. Berubah terus. Baru dia perasan isterinya sudah pandai bergaya, pakai cantik-cantik tak pernah pula dipakai sedemikian di depannya.
“Anak tu hak aku! Aku akan tuntut hak penjagaan anak.” Wanita itu menuding jarinya ke arah si kecil.
Anaknya itu tidak bergerak dari sisi ayahnya. Mendakap erat. Tak mahu lepaskan. Menangis-nangis sambil berkata pada ibunya,
“Tak nak ibu! Tak nak ibu! Nak sayang abah macam Fatimah sayang Nabi!”
Ibunya tergamam. Tak menduga sebegitu jawapan anak kecil itu.
Ayahnya juga turut terkesima. Bagai disuntik kekuatan baru, sang suami bangun. Perlahan-lahan berlalu dari situ dengan memimpin tangan anaknya. Tanpa berpaling langsung ke arah pasangan sejoli di belakangnya.
Hatinya tawar sehabis tawar. Dalam hatinya pasti, bukan kerana dia tidak pandai mendidik isteri.
Bukan kerana berjauhan memisahkan dua hati. Bukan kerana dia tak cuba sedaya upayanya atau kerana tidak ikhtiar seikhlas hati. Ini semua ujian Tuhan. Untuk buatnya lebih tabah hadapi kehidupan.
Bila hati dah tak sayang. Bila setia dah hilang bisanya.
Apa saja yang dihamburkan isterinya tadi, itu semua alasan.
“Katalah apa yang kau ingin, selagi kau dapat berkata!”
sumber asal
0 Response to "Mesti BACA!! Suami Ni Bukan Main Nak Suprisekan Isterinya..Tapi Malangnya..sangat SEDIH !!"
Post a Comment