![]() |
Foto Ammar Muhammad |
Pagi
itu, saya memandu perlahan melewati seorang ayah dan anak yang sedang berjoging
di atas jalan kampung yang kecil. Si ayah berjoging perlahan di hadapan,
melambai dan memanggil anak yang tertinggal sedikit ke belakang.
Saya
kira umur si kecil sekitar 4 atau 5 tahun. Perempuan bertudung pink, berstokin
belang, berbadan kecil dan sangat comel. Terkedek-kedek berlari mengejar si
ayah.
Hati
berbisik, ‘larat ke budak tu nak ikut ayahnya joging. Silap-silap sampai hujung
simpang dah penat.’
Kereta
menyusur keluar ke jalan utama, baru perasan saya tertinggal kunci rumah. “Aduh,
kena patah balik pula.”
Dalam
perjalanan berpatah balik mengikut jalan yang sama, dari jauh saya melihat
kelibat si ayah dan anak yang sedang berjoging tadi. Saya tersenyum
sendirian.
‘Dah
agak dah, mesti ayah akan jadi mangsa.’ Si ayah gigih berjoging sambil mendukung
si kecil di pundak. Si kecil hanya terkekek-kekek ketawa bahagia
digoncang-digoncang seperti menaiki unta lagaknya.
Entah
kenapa, saya yang beremosi gembira campur bahagia melihatnya. Sengaja
diperlahankan kenderaan dan mengambil gambar mereka dalam rahsia.
"Tahniah
ayah! Anda telah membuat si anak bahagia. Bukan ketika itu sahaja, insya-Allah
sampai bila-bila,"
Kasih
seorang ayah, sukar untuk diungkapkan. Kebanyakan masa, mereka bisu seribu
bahasa. Entah sayang, entah tidak. Tidak seperti ibu yang mudah mengungkap kata,
ayah tidak begitu. Kata-katanya pada tingkahlaku.
Tegasnya
itu kegusaran. Marahnya itu perlindungan. Usapnya itu pengharapan. Entah mengapa
tidak saja mereka ungkap kegusaran, perlindungan, dan pengharapan dengan
perkataan. Tapi, itulah ayah, lelaki misteri yang ada dalam setiap
keluarga.
Jika
ayah rapat dengan anak lelaki, itu biasa. Ketegasan, kepimpinan, prinsip hidup,
harga diri biasanya dipelajari oleh anak lelaki dari karakter seorang
ayah.
Melihat
ayah yang mendukung anak perempuan membuat hati terpesona dan berfikir lama.
Perbuatan mendukung sudah pasti membawa maksud yang dalam. Sepanjang berjalan,
saya tidak melihat dia berkata-kata. Tetapi dari senyuman dan kegigihan memikul
anak di pundak itu sangat memberi makna. Kebahagiaan si anak jelas terasa.
Ayah
seolah ingin memberitahu, “Anak, ayah takkan tinggalkan kamu di belakang. Ayah
akan ‘angkat’ kamu walau apapun berlaku. Kamu adalah ‘tinggi’ bagi ayah, seperti
tingginya kamu di atas bahu ayah sekarang. Sebagai perempuan, satu hari nanti
kamu akan diambil dan dibawa pergi oleh seseorang. Ingatlah saat-saat ini,
semoga kamu juga ‘mengangkat’ ayah satu hari nanti. Jangan pernah tinggalkan
ayah.” - Ammar
Muhammad
0 Response to "'ANAK, AYAH TAKKAN TINGGALKAN KAMU DI BELAKANG'"
Post a Comment