Alor
Setar : "Ayah
pergi solat," kata isteri Allahyarham Shahidan Saad kepada anak tunggalnya,
selepas Muhammad Afiq Amzar, 3, tidak melihat kelibat bapanya di Lapangan
Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini hari ini.
Isteri Shahidan, Maziatunazna
Bidin @Ibrahim, 44, dan abang iparnya, Sobri, 56, antara 279 jemaah haji Kedah
dan Perlis yang tiba di LTSAH pada 8.20 pagi ini menerusi pesawat Malaysia
Airlines Berhad (MAB), KT7 dari Jeddah.
"Saya amat gembira dapat melihat
anak saya dan apabila jumpa (dengan anak) dia terus bertanya dan mencari
ayahnya. Saya cakap ayah pergi solat," katanya kepada
pemberita.
Beliau berkata mereka akan
menunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada anak tunggalnya itu tentang
insiden kren tumbang di Masjidil Haram 11 Sept lepas, yang meragut nyawa
bapanya.
Katanya setakat ini dia tidak mempunyai apa-apa
perancangan dan akan terus tinggal di rumah mereka bagi membesarkan anaknya, dan
bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah haji sehingga selesai dan reda dengan
ketentuan Allah.
Maziatunazna
berkata selepas mengetahui suaminya dilaporkan hilang, dia sentiasa berdoa agar
suaminya dijumpai semula serta menunggu maklumat terkini daripada petugas Tabung
Haji (TH).
"Selepas kejadian itu memang kami
tidak dibenarkan keluar untuk menunaikan solat di Masjidil Haram. TH juga telah
menguruskan badal haji Allahyarham," katanya.
Katanya sebelum kejadian itu arwah
tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersembang seperti biasa serta tidak
meninggalkan apa-apa pesanan.
Sementara itu abang Allahyarham
Shahidan, Sobri, berterima kasih kepada pihak pengurusan TH yang membantu
menguruskan jenazah adiknya dengan sempurna.
Pesara guru itu berkata dia
bersama seorang lagi adiknya Zulhakimi, 37, berpeluang melihat proses
pengebumian Allahyaham Shahidan di Tanah Perkuburan Maqbarah
As-Shohada.
Sobri berkata ahli keluarganya
akan membantu isteri Allahyarham mengurus dan membesarkan Muhammad Afiq hingga
dewasa sebagai tanggungjawab mereka sekeluarga.
Dalam kejadian 5 petang pada 11
Sept lalu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas
kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam
selesai mengerjakan solat asar.
Tujuh jemaah haji Malaysia
termasuk allahyarham Shahidan terkorban. - Awani
0 Response to "Kren tumbang: Ayah solat sayang .. kata isteri Allahyarham Shahidan kepada anak tunggal"
Post a Comment