
Pelakon wanita yang sedang meningkat naik, Mia
Ahmad enggan tamak walaupun dirinya dihujani dengan tawaran untuk menjadi duta
untuk beberapa buah produk. Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 27,
mengakui yang tawaran datang mencurah selepas dia dikenali menerusi drama
bersiri Hati Perempuan.
“Saya terharu apabila pengeluar pelbagai produk
mahu melamar saya sebagai duta. Bagaimanapun, saya tidak mahu gelap mata.
Setakat ini, saya hanya memilih tiga jenama berbeza iaitu untuk tudung, busana
dan produk penjagaan kulit.
"Saya banyak menerima tawaran menjadi duta
selepas fenomena drama Hati Perempuan, namun saya tidak mahu tamak. Saya bimbang
tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya jika sibuk di lokasi penggambaran,” kata
Mia yang merupakan bekas pramugari syarikat penerbangan AirAsia X.
Bersandarkan drama bersiri Hati Perempuan, graf
populariti Mia terus meningkat naik. Mempunyai hampir 900 ribu pengikut di laman
Instagram, gadis manis bertudung litup itu bukan saja tidak menang tangan
menerima tawaran lakonan, malah Mia turut menjadi buruan usahawan pelbagai
jenama produk untuk melamarnya sebagai duta.
"Saya pernah lebih sebulan tidak menerima
tawaran lakonan kerana terikat dengan jadual promosi sebagai duta. Sebenarnya,
keutamaan saya masih sebagai pelakon dan menjadi duta hanya rezeki sampingan,"
kata Mia lagi.
Terbaru, Mia kini dilantik menjadi duta bagi
jenama kecantikan tempatan, Pesona Ayu Skincare. Tidak mahu menipu peminat di
luar sana, Mia telah terlebih dahulu mencuba dan merasakan keberkesanan produk
ini.
“Sejak dulu saya mahu menjadi duta produk
kecantikan. Ada beberapa jenama pernah merisik tetapi kurang menarik perhatian
saya. Bagaimanapun, produk Pesona Ayu Skincare berbeza. Saya sudah
menggunakannya sejak beberapa bulan lalu.
“Tidak mudah untuk saya menerima tawaran
sesuatu produk. Prinsip saya kena cuba dulu. Saya bimbang nama saya terpalit
dengan pelbagai komen kurang enak jika pengguna tidak berpuas hati. Setakat ini,
produk ini telah memberi kesan positif terhadap kulit saya,” jelas Mia
mengakhiri perbualan.
0 Response to "Mia Ahmad Takut Jadi Tamak"
Post a Comment