
Dikala remaja lain seusia dengannya pergi ke sekolah
menimba ilmu tanpa perlu memikirkan tanggungjawab berat di rumah, namun tidak
bagi Mohamad Idham Mohd Nor, 16, ini kerana beliau sanggup mengorbankan zaman
persekolahannya demi menjaga ibu tercinta.
Beliau yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas, mengakui rekod kedatangannya ke
sekolah tidak cantik kerana hanya memasuki kelas tiga kali dalam
seminggu.
Ini kerana, baginya yang merupakan anak sulung dari
dua adik beradik, menjaga ibu yang sudah 6 bulan terlantar adalah lebih penting
kerana tanggunjawabnya sebagai ketua keluarga.
Ibunya, Zabidah Mat Hasshim, 53, yang sudah bercerai
dengan bapanya sejak 10 tahun lalu.
“Tak mungkin saya abaikan Ma
(panggilan untuk ibu). Kami sudah tiada sesiapa, Ma sahaja yang ada.
“Saya dan adik, Zanatul Nor
Afini, 11, terlalu rindu untuk bermesra dengan Ma. Tetapi, hanya ayat ‘Ma letih,
nak berehat sebentar’ yang mampu saya kenang hingga kini.
“Ungkapan itu Ma sebut
seminggu sebelum Ramadan lalu dan kemudian dia sesak nafas dan tidak sedarkan
diri hingga ke hari ini.
“Ma memang menghidap penyakit
asma dan ia semakin teruk pada Mei lalu. Ma dimasukkan ke Hospital Lati sebelum
dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya ketika ditemui dipetik laporan Harian Metro.
Menurut beliau, selepas sebulan ibunya dirawat di
hospital, ibunya tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif menyebabkan
beliau membuat keputusan membawanya pulang ke rumah.
Sejak itu, katanya, dia bergilir-gilir dengau bapa
saudara, Amran Mat Hasshim, 51, yang juga adik bongsu Zabidah menjaga wanita
itu.
Menurutnya, mereka perlu memberi dia minum susu,
mengelap badan sekurang-kurangnya tiga kali sehari selain mengurut.
“Pak cik bekerja di kilang
roti berdekatan rumah. Apabila dia bekerja, saya terpaksa ponteng sekolah untuk
jaga Ma. Hanya apabila dia tidak ke kilang barulah saya ke sekolah.
“Sebab itulah rekod kehadiran
saya hanya tiga hari seminggu. Saya bersyukur kerana guru dan pihak sekolah
memahami kesusahan kami sekeluarga.”
“Biarlah saya seorang yang
berkorban demi Ma,” katanya yang sentiasa
berdoa dan berharap ibunya sedar serta pulih kembali.
Bagi meneruskan kehidupan, remaja itu berkata, mereka
bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300
sebulan.
Wang daripada JKM berkenaan digunakan untuk membeli
lampin pakai buang dan susu Zabidah berharga RM80 setin manakala untuk
perbelanjaan sekolah, dia hanya menggunakan wang zakat yang diberikan masyarakat
setempat selain sumbangan guru.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh
menyalurkan ke akaun Bank Simpanan
Nasional (BSN), 03007-41-00015411-3, atas nama Mohamad
Idham Mohd Nor.
0 Response to "SAYU!! PELAJAR INI SANGGUP PONTENG SEKOLAH DEMI JAGA IBU YANG KOMA"
Post a Comment