
Petugas rumah peranginan menunjukkan lokasi
Ashyikin ditemui lemas.
TELOK KEMANG – Kegembiraan lima keluarga dari
Klang, Selangor bercuti di Port Dickson berakhir tragedi apabila salah seorang
daripada mereka ditemui mati lemas di kolam renang di sebuah rumah peranginan di
Batu 9 Telok Kemang di sini, petang kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.15
petang selepas mangsa, Nur Nasuha Ashyikin Mohd Hafiz, 7, ditemui dalam keadaan
terlangkup di dasar kolam renang dewasa oleh salah seorang sepupunya.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson
(HPD) oleh ahli keluarganya namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai
perubatan.
Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali
berkata, kejadian berlaku di luar jangkaan dan dia masih terkejut dengan insiden
berkenaan.
"Saya tak sangka Ashyikin pergi ke kolam renang
dan mandi seorang diri kerana saya dan ahli keluarga lain berada di rumah untuk
membersihkan diri selepas mandi di pantai.
"Masa itu kami sedar dia (Ashyikin) tiada dan
mula mencarinya di seluruh kawasan rumah sebelum dia ditemui di dalam kolam
renang. Saya sangat sedih dan terkilan, namun perlu reda dengan ketentuan
ALLAH,” katanya.
Katanya, mereka tiba di port Dickson Ahad lalu
dan dijangka pulang semalam.
"Kami bawa Ashyikin bersama kakaknya berusia 10
tahun bercuti di sini," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Hafiz
Sulaiman, 32, berkata, dia tidak dapat menahan sebak ketika menerima berita
menimpa anaknya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.
“Saya dari Meru (Klang) terus bergegas ke sini
(HPD) dan ada hubungi bekas isteri yang tinggal di Kuala Selangor memaklumkan
kejadian ini.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah Jumaat
lepas, dua hari sebelum mereka bertolak ke Port Dickson. Ashyikin seorang anak
yang rajin. Saya sedih kerana dia pergi pada usia semuda ini, tapi saya perlu
tabah dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port
Dickson, Superintenden Baharudin berkata, hasil bedah siasat mendapati punca
kematian adalah lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurutnya, jenazah mangsa dituntut ahli
keluarganya dan dibawa ke Kuala Selangor untuk urusan pengebumian.
0 Response to "Subhanallah! Percutian Keluarga Bertukar Jadi Tragedi MENGERIKAN !"
Post a Comment