
HONG KONG – Hong Kong
mengalami cuaca sejuk luar biasa semalam apabila suhu menjunam ke tahap terendah
sejak hampir 60 tahun lalu.
Agensi kaji cuaca memberi
amaran kepada penduduk bandar raya yang biasa dengan iklim subtropika itu bahawa
‘suhu sejuk melampau’ semakin meningkat dengan angin sejuk monsun.
Suhu sebelah pagi me-nurun
kepada 3.3 darjah Celsius di kawasan bandar raya dengan kebanyakan bangunan
tidak mempunyai sistem pemanas berpusat, manakala cuaca di kawasan bukit berada
pada bawah tahap beku.
“Ini adalah cuaca paling
sejuk sejak 59 tahun lalu. Tahap terendah harian jatuh kepada 3.3 darjah
Celsius, rekod sebelum ini ialah 2.4 darjah pada Februari 1957,” kata Pegawai
Sains Kanan Hong Kong, Wong Wai-Kin kepada agensi berita AFP.
Walaupun cuaca sejuk
tersebut tidak seteruk cuaca di Amerika Syarikat dan sebahagian besar wilayah di
China, suhu rendah itu merupakan sesuatu yang baharu bagi ramai penduduk di
pulau ini.
“Cuaca sangat sejuk dan
berangin di Hong Kong. Orang ramai dinasihatkan memakai pakaian panas dan
mengelakkan terdedah kepada angin sejuk terlalu lama,” jelas satu amaran yang
dipaparkan di sebuah laman web kerajaan bandar ini.
Ketika suhu terus menjunam,
penduduk yang tertarik dengan suasana tersebut membanjiri kawasan lebih tinggi
bagi mencari pembentukan fros, lapor sebuah stesen penyiaran tempatan, Cable
TV.
Pengkaji cuaca meramalkan
suasana di bandar ini tidak akan berubah sehingga pertengahan minggu ini. Pusat
Pemantau Hong Kong pula memaklumkan cuaca paling sejuk pernah dicatatkan di
bandar ini ialah 0 darjah Celsius pada Januari 1893. – AFP
Sumber: Kosmo
0 Response to "Hong Kong Dilanda Cuaca Sejuk Luar Biasa, Pokok Diseliputi Ais"
Post a Comment