LIMA pelajar MRSM Tun Ghafar Baba, (dari kanan) Mustafa, Muhammad Iqmal, Ahmad Arman, Dania dan Fairuz bersemangat untuk mengharumkan nama negara di New York. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan |
Selama lapan hari bermula Isnin ini, pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba (TGB), di sini, akan bersama Mustafa Zoher, 17; Muhammad Iqmal Yusaini, 17; Dania Kamal Aryf, 17, dan Fairuz Nur Hannah Lokman, 17, untuk menyertai kira-kira 3,500 delegasi dari seluruh dunia untuk membentangkan kertas kerja di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Persidangan antarabangsa kali ke-42 itu bertujuan mendedahkan pemimpin pelajar sekolah menengah dan universiti dari seluruh dunia kepada isu antarabangsa di PBB sekali gus membentangkan usul di peringkat global untuk membina keyakinan, jati diri dan daya kepimpinan.
Ahmad Arman Al-Huzaifi yang mengetuai delegasi MRSM TGB, berkata pendedahan awal dalam sukatan model Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang dipraktikkan di sekolah itu menambahkan lagi keterujaan untuk membawa mesej antarabangsa dalam konteks Malaysia.
Katanya, dia sendiri akan menyertai jawatankuasa Politik Khas dan Dekolonisasi (SPECPOL) untuk membentangkan isu 'Keadaan Pelarian Palestin di Asia Barat' dan 'Keadaan Wilayah Yang Diduduki di Azerbaijan'.
Dania dan Fairuz Nur Hannah pula dalam jawatankuasa Kesatuan Afrika (AU) dengan topik 'Memerangi Boko Haram' dan 'Pendidikan Menengah bagi Pelajar Perempuan di Afrika'. Muhammad Iqmal dan Mustafa akan mengusulkan isu Ekonomi dan Kewangan (ECOFIN) menerusi topik 'Pembasmian Kemiskinan di India' dan 'Kemudahan Perdagangan di Negara-negara Membangun'.
"Sebenarnya kami sudah terlepas tempoh akhir penyerahan borang penyertaan pada Oktober lalu, sebelum membuat rayuan serta mengemukakan beberapa kertas kerja sokongan dan akhirnya diterima.
"Walaupun sudah kesuntukan masa, ia bukan halangan untuk kami memfokuskan setiap topik diberikan penganjur untuk dibentangkan dalam satu kertas kerja," katanya yang ditemui di MRSM TGB, di sini, petang tadi.
Penyertaan lima pelajar MRSM TGB ke New York itu diiringi guru pengiring, Syazana Mohd Sharif yang dijangka turut terbabit dalam beberapa program dikhususkan kepada pendidik sepanjang persidangan berlangsung.
0 Response to "Pelajar MRSM bentang kertas kerja di New York"
Post a Comment