Harga runcit bawang merah dilaporkan semakin
naik di Indonesia sejak awal Februari dan melambung sehingga Rupiah 35,000
(kira-kira RM12) satu kilogram (kg) di pasaran hari ini.
Sebelum ini, harga runcit bawang merah bagi
satu kg sekitar Rupiah 12,000 (kira-kira RM3.50).
Kenaikan harga yang luar biasa itu telah
menimbulkan kegelisahan para pengguna di ibu kota kerana ia boleh mengakibatkan
kenaikan harga makanan di gerai dan restoran.
Media-media tempatan memetik Ketua Pengarah
Hortikultura Kementerian Pertanian, Spudnik Sujono sebagai berkata, kerajaan
menyedari harga bawang itu melambung dalam dua minggu terakhir ini.
Katanya, kenaikan harga itu mungkin
disengajakan oleh pihak tertentu yang mahu menguasai pasaran dengan menahan stok
supaya permintaan menjadi tinggi.
Beliau berkata, perbuatan itu adalah tidak
wajar memandangkan pengeluaran bawang masih banyak.
"Ada yang sengaja tahan stok di gudang.
Barangnya ada di lapangan, tapi harganya naik terus, mereka sengaja tahan stok
buat kendalikan harga. Saya tahu kerana rutin saya periksa langsung di
lapangan," katanya kepada pemberita tempatan di Pasar Minggu di sini hari
ini.
Spudnik berkata, pihaknya mempunyai bukti
terdapat sindiket menahan stok bawang merah itu walaupun mereka memberitahu
bekalan mengalami masalah atas alasan cuasa berikutan hujan lebat di daerah
sekitar Jakarta.
Katanya, alasan itu tidak benar kerana sebagai
contohnya bekalan ke daerah Brebes mempunyai lebihan apabila stok bawang merah
yang dibawa dari Cirebon ke kawasan itu sebenarnya melebihi permintaan.
"Jangan cari untung dengan cara demikian di
tengah masalah musim hujan mereka tahan stok atau dikeluarkan sedikit-sedikit,
daripada misalnya biasanya 20-25 trak sehari ke pasar induk, jadi 15 trak
sahaja, ini yang ganggu harga," kata beliau.
0 Response to "Harga Bawang RM12 Sekilo"
Post a Comment