Beliau mendakwa, isu pembelot bangsa tidak timbul kerana orang Melayu pun ramai yang belot sesama sendiri dan ia adalah satu kebiasaan bagi mana-mana ahli politik atau parti politik untuk bertindak demikian.
Tidak keluar parti
Justeru, Yammy yang juga ahli UMNO Bahagian Ipoh Barat tidak akan bertindak keluar parti itu walaupun akan menyokong dan turut berkempen untuk DAP bagi memastikan kemenangan anaknya dalam pilihan raya.
“Ini bukan kerana mengkhianati parti, tetapi bagi saya adalah wajib mendahului anak saya.
“Dalam keadaan sekarang, saya menyokong anak saya, sesiapa pun hendakkan anaknya menang, tidak kisahlah parti apapun (bertanding),” katanya ketika ditemui pada majlis penamaan calon serta perasmian Pusat Operasi DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini semalam.
Yammy berkata, beliau tidak akan sama sekali ‘membuang’ anaknya semata-mata menjaga maruah parti politik disertainya kerana mendakwa belum tentu parti berkenaan akan menghargai jasanya sepanjang berada dalam politik.
Berfikiran terbuka
“Saya berfikiran terbuka dan memberi kebebasan parti mana dia (Dyana Sofya) nak masuk. Pada saya semua parti yang berdaftar adalah parti yang halal dan DAP juga pernah menjadi sebahagian kerajaan (di Perak).
“DAP sebenarnya mengambil risiko kemungkinan akan kehilangan kerusi, kerana (sokongan terhadap) DAP semua tahu (daripada) orang Cina.
“Tetapi apabila bagi anak Melayu (menjadi calon), sekiranya anak saya menang, satu kerusi (orang) Cina sudah hilang bagi pada Melayu,” katanya sambil menjelaskan beliau berdarah campuran kerana ibunya adalah berketurunan Cina yang berkahwin dengan lelaki Melayu.
Beliau juga berpendapat kedudukan ahli keluarganya yang ramai menyertai UMNO, manakala Dyana Sofya menyertai DAP adalah sesuatu yang lumrah kerana dalam satu keluarga pun mesti ada ahli keluarga yang menjadi pembangkang.
“Tidak ada keluarga yang semuanya sealiran, kita perlukan pembangkang (dalam keluarga),” katanya.
0 Response to "Ibu Sokong Dyana Sofea Walaupun Dituduh Pembelot UMNO"
Post a Comment