KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan yang cuba menghalang kenderaannya daripada dilarikan oleh seorang lelaki tidak dikenali maut selepas terseret dari kenderaan itu sejauh kira-kira 20 meter di Taman Golden City, Luyang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa yang berusia 66 tahun difahamkan baharu pulang dari pasar dan memberhentikan kenderaannya di hadapan rumahnya di taman itu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun berkata siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan kesan geseran di belakang badan, siku dan kesan hentakan di dahi kanan dipercayai akibat terjatuh.
“Mangsa didatangi seorang lelaki sebaik membuka pagar rumahnya yang cuba untuk membawa lari kenderaannya. Mangsa cuba menghalang suspek dengan memegang tombol pintu kenderaan di bahagian pemandu namun tidak diendahkan suspek dan terus membawa lari kereta itu.
Mangsa yang terseret telah jatuh di atas jalan dalam keadaan terbaring dengan jarak kira-kira 20 meter,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Jauteh berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat
Menurutnya, polis giat memburu suspek berkenaan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -SAYANGSABAH
0 Response to "AHLI PERNIAGAAN MAUT DISERET 20 METER ELAK KERETA DICURI"
Post a Comment