ISIL UGUT LETUPKAN BANGUNAN DI KUALA LUMPUR




KUALA LUMPUR - Anggota kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) dipercayai merancang untuk meletupkan sebuah bangunan di ibu negara.

Menurut satu sumber yang boleh dipercayai, seorang individu menerima maklumat itu selepas mendapat panggilan daripada seorang anggota polis yang bertugas di United Kingdom, kelmarin.

“Anggota polis itu memberitahu seorang lelaki, dipercayai anggota ISIL, dikenali sebagai Nissah, terbang dari Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin, menggunakan pesawat MH608,” katanya.

Sumber itu memaklumkan, maklumat sama turut mengatakan kira-kira 20 anggota ISIL sudah berada di Malaysia.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai akan meletupkan bangunan yang menjadi sasaran mereka dengan menggunakan gas silinder.

Seorang pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat perkara berkenaan.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan lima individu, termasuk seorang pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Mahmud Ahmad, 36, diburu.

Beliau berkata, empat lagi ialah pemilik kedai fotostat, Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang, Muhammad Joraime Awang Raime atau Abu Nur, 39, serta dua lagi, Jeknal Adil atau Jek, 30, buruh, dan Mohd Amin Baco, 31.

Sumber: Sinar Harian

0 Response to "ISIL UGUT LETUPKAN BANGUNAN DI KUALA LUMPUR"

Post a Comment