Kini Ezad Exist Sudah Berubah

Keluarga merupakan tunggak utama Ezad untuk terus menjadi insan yang bertanggungjawab dalam semua perkara.



Kini Ezad Exist Sudah Berubah, info, terkini, hiburan, penyanyi, artis




Ramai yang takut untuk mengundang Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 35, ke majlis yang dianjur kerana penyanyi itu sering tidak muncul di saat akhir.

 




Apa pun, itu perangai Ezad dahulu. Sekarang ini sejak berumah tangga dia sudah berubah 100 peratus. Ezad sekarang lebih bertanggungjawab berbanding dulu dan baru-baru ini sewaktu sesi foto dengan Hits, dia datang setengah jam lebih awal daripada waktu yang ditetapkan.

Kata Ezad, sebagai suami dan bapa, dia kini mahu menjadi orang yang lebih bertanggungjawab demi masa depan keluarga.

"Saya akui dulu saya kurang menitik berat soal masa dan sebab itu ada beberapa pihak kurang berminat untuk mengundang saya buat persembahan. Sekarang ini semua perangai buruk itu telah saya buang dan saya ingin buka buku baharu.

"InsyaAllah, sekarang ini perjalanan karier saya sudah terurus kerana isteri, Nor Azeana Ramli sering mengambil berat dan mengingatkan saya tentang jadual kerja," katanya.

Menurut Ezad, dia tidak kesal dengan apa yang berlaku sebelum ini kerana kejadian lalu mengajarnya agar menjadi insan lebih bertanggungjawab.

"Kalau tidak berlaku perkara-perkara sebegitu, mungkin saya tidak sedar dan berubah hingga kini. Sekarang ini apa-apa saya fikir keluarga dulu kerana tanggungjawab saya sudah bertambah.

"Dulu seorang diri, makan atau tidak, bukan masalah utama. Sekarang ini kalau saya tidak kerja siapa nak bagi anak dan isteri makan.

Sebab itu saya syukur sangat-sangat kerana sekarang ini saya menjadi insan yang lebih bertanggungjawab," akui Ezad.

Ulang-alik ke Singapura

Selepas bergerak solo, Ezad akui agak sukar untuknya meraih populariti seperti mana ketika bersama anggota Exist. Biarpun terpaksa bertatih semula untuk mencipta nama dalam bidang seni, Ezad tidak kisah kerana dari segi lain, rezekinya melimpah.

Ezad yang pernah menghasilkan single Percintaan Ini dan Kerana Kamu mengaku biarpun namanya kurang popular, namun undangan persembahan tidak pernah putus.

"Sepanjang bulan puasa ini, setiap Jumaat saya akan ke Singapura untuk menyanyi di bazar Ramadan di sana pada setiap hari Sabtu. Kalau ikutkan memanglah letih tapi sudah rezeki begitu, kenalah terima.

"Alhamdulillah, di sana kehadiran saya dihargai peminat. Bukan masuk bakul angkat sendiri, tapi itulah hakikatnya kerana kumpulan Exist memang ada peminat di sana. Jadi orang pun kenal saya," katanya yang kini selesa bergerak solo.

Tegas Ezad, biarpun majlis yang dijayakan bukan berskala besar namun dia tetap bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus. Malah daripada majlis sebegitu dia dapat mengenali peminat.

Jaga anak sendiri


Melihat aksi Ezad yang tidak kekok melayan anaknya, Puteri Rania Keisha yang berusia tujuh bulan itu nampak yang dia sering menghabiskan masa bersama anak sulungnya itu.

Kata Ezad, selama ini dia yang bertanggungjawab menjaga anak sewaktu isterinya pergi kerja pada pukul 9 pagi hingga 5 petang.

"Pertama kali kami tinggal berdua, kelam kabut jadinya. Sampaikan telefon berbunyi pun saya tidak angkat. Sebenarnya saya dan isteri pun tidak pandai dalam perkara ini kerana ia adalah pengalaman pertama.

"Selain bertanya pada ibu, saya juga bertanya pada kawan-kawan. Bila menjadi ayah ini baru tahu penatnya nak menjaga anak. Bukan tidak boleh hantar pada pengasuh, boleh tapi bila dengar pelbagai cerita, baik jaga sendiri. Anak depan mata, hati pun tidak resah," ceritanya.

Menurut Ezad, disebabkan sibuk menjaga anak, dia tiada masa untuk melakukan aktiviti lain termasuklah mencipta lagu.

"Anak saya ni lasak sikit. Tu pun masih belum boleh berjalan, kalau sudah boleh atur langkah tak tahulah macam mana. Dia nak kita sentiasa ada di sisinya, tu yang susah sikit nak buat kerja lain.

"Bila dia tidur, ingat sempatlah nak buat kerja lain tapi tidak boleh juga kerana dia tidur sekejap pula. Sesungguhnya, bila kena jaga anak baru saya tahu susah senangnya," ceria Ezad sambil tersenyum.

Berlakon teater

Selain menyanyi, Ezad juga pernah berlakon filem antaranya, Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Mistik, Kuliah Cinta dan Tangkai Jering.

Jelas Ezad, dalam waktu terdekat ini dia sedang menjalani latihan teater 3 Kali Sayang, arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman. Teater yang menampilkan dia sebagai peneraju utama itu bakal dipentaskan di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPJA), Pandan Indah, Kuala Lumpur selama empat hari bermula pada 28 Ogos depan.

Antara pelakon yang terlibat adalah Azza Suaymi, Vicha Saywho, Zue Islam, Wira Will dan Shazil Cuit.

"Sebenarnya ini adalah teater pertama yang saya jadi pelakon utama. Sebelum ini saya pernah berlakon teater Hantu Ketapang, arahan Raja Azrey juga.

"Kalau ikutkan saya malas nak terima, tetapi mengenangkan sudah biasa bekerja dengan Raja Azrey, jadi saya terima sahaja. Lagipun ini teater lawak," katanya.

Jelas Ezad, antara sebab kenapa dia tidak mahu memberi tumpuan pada lakonan kerana bidang itu memerlukan lebih masa berbanding nyanyian.





"Bila sudah ada keluarga ini, saya kena fikir dari pelbagai sudut. Kalau boleh saya mahu luangkan waktu dengan keluarga. Mana yang saya rasa sesuai, saya terimalah. Kalau tak saya lebih senang tumpu pada bidang nyanyian," katanya terus terang.






Sumber : utusan.com.my

0 Response to "Kini Ezad Exist Sudah Berubah"

Post a Comment