BEKAS pemain Chelsea dan pemain terbaik Afrika sebanyak empat kali, Samuel Eto’o telah menyertai Everton dengan kontrak selama dua tahun dan kini berkemungkinan akan diturunkan menentang bekas kelabnya itu dalam perlawanan liga Sabtu ini.
Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan banyak kelab termasuklah Liverpool tetapi tidak ada satu pun yang bersedia menawarkannya kontrak melebihi setahun sepertimana yang ditawarkan Everton.
Kebanyakan kelab dalam liga perdana mempunyai polisi untuk tidak menawarkan kontrak melebihi setahun kepada mana-mana pemain yang telah berusia lebih daripada 30 tahun.
Ramai yang tidak menyaksa Eto’o akan menyertai pasukan Roberto Martínez tetapi tawaran yang diterimanya adalah terlalu bagus untuk ditolak.
Dia dikatakan menerima bayaran gaji sebanyak £75,000 seminggu.
Eto’o, yang merupakan pemenang Piala Eropah tiga kali, bersama Barcelona (dua) dan kemudian Internazionale, berjaya menjaringkan 12 gol dalam 34 perlawanan untuk Chelsea musim lalu tetapi tidak ditawarkan perlanjutan kontrak musim ini.
Oleh yang demikian dia menjadi ejen bebas dan Martínez membawanya ke Everton tanpa perlu membayar wang perpindahan kepada Chelsea.
Everton memerlukan penyerang ekstra kerana mereka akan beraksi dalam Liga Europa musim ini.
Mereka telah pun membeli Romelu Lukaku juga daripada Chelsea manakala seorang lagi penyerang, Arouna Koné masih dibelenggu kecederaan lutut.
0 Response to "Samuel Eto’o Sertai Everton Dengan Gaji £75,000 Seminggu"
Post a Comment