6 penyokong Malaysia ditahan polis


Shah Alam : Enam penyokong Malaysia ditahan polis dalam dalam perlawanan separuh akhir Harimau Malaya menentang Vietnam pada Piala AFF di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, lima orang ditahan atas kesalahan membakar suar manakala seorang lagi terbabit dalam pergaduhan dengan seorang penyokong Vietnam.

“Lima lelaki yang ditahan kerana membakar suar di dalam stadium ketika perlawanan berlangsung walaupun arahan untuk tidak berbuat demikian sudah dikeluarkan.

“Seorang lagi ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong Vietnam itu berlaku pada minit terakhir perlawanan susulan provokasi yang dimulakan penyokong Malaysia.

"Pergaduhan itu dapat dileraikan dengan tindakan pantas polis yang bertugas namun penyokong Vietnam yang cedera enggan membuat laporan polis walaupun sudah dinasihatkan berbuat demikian," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, semua lelaki berusia 20-an yang ditahan sudah dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi Facebook (FB), menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir penyokong Malaysia yang menyerang penyokong Vietnam.

“Tiada alasan bagi tindakan ganas tersebut. Lebih-lebih lagi terhadap tetamu dalam negara kita. Apakah ini cara kita layan tetamu? Tak kiralah mereka datang melancong ke memang dah kerja sini ke, ini bukan budaya Malaysia,” tegasnya.

Menurutnya, beliau masih menunggu laporan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu.

via : sukanstartv

0 Response to "6 penyokong Malaysia ditahan polis"

Post a Comment