Polis menahan penganjur perhimpunan 'baju
merah', Datuk Jamal Md Yunos di bawah Seksyen 105 Kanun Acara
Jenayah pada malam Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan penahanan itu.
"Kita tahan beliau di bawah Seksyen 105 Kanun
Acara Jenayah untuk mengelakkan jenayah daripada berlaku berhubung kenyataan
yang didakwanya bahawa rusuhan akan berlaku di Petaling Street," katanya kepada
The Star Online.
Difahamkan, Jamal yang merupakan Ketua Umno
Bahagian Sungai Besar ditahan pada pukul 9 malam Jumaat. Beliau kini ditahan
di balai polis Dang Wangi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk
Noor Rashid Ibrahim berkata, polis akan memanggil Jamal untuk merekodkan
kenyataannya berhubung perhimpunan di Petaling Street pada Sabtu.
Noor Rashid dilaporkan berkata, pihak polis
tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menganjurkan
perhimpunan dan tindakan tegas akan diambil.
Polis memberi amaran kepada Jamal bahawa beliau
akan ditahan sekiranya didapati bersalah membuat hasutan bagi mencetuskan
huru-hara.
Pada Rabu lalu, Jamal memberitahu pemberita
bahawa satu perhimpunan boleh berlaku pada Sabtu sekiranya Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) gagal untuk
bertindak ke atas peniaga haram.
Jamal kemudiannya bagaimanapun berkata,
beliau tidak mempunyai asebarang kaitan dengan penganjuran perhimpunan di
Petaling Street pada Sabtu.
"Saya tidak terlibat dan saya tidak akan berada
di Petaling Street," katanya.
Ditanya adakah beliau mempunyai maklumat
mengenai penunjuk perasaan akan berhimpun di Petaling Street pada Sabtu, Jamal
berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
"Saya ulangi, saya tidak terlibat dalam
perhimpunan ini, jadi saya tidak tahu sekiranya ada perhimpunan esok,"
tambahnya.
Jamal berkata, kehadirannya di Petaling Street
pada 16 September lalu atas permintaan polis sebagai "orang tengah".
"Pihak polis minta saya bantu untuk
menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di sana," katanya sambil menambah
bahawa beliau tidak menganjurkan perhimpunan 16 September lalu atau yang bakal
diadadakan pada Sabtu.
Beliau mendakwa media telah memutar belit kan
kenyataannya berhubung perhimpunan itu.
-mstar
0 Response to "Jamal Yunos @ Tongkol Ditahan Polis"
Post a Comment