KUALA LUMPUR - Agensi Angkasa Negara
(Angkasa) hari ini menafikan dakwaan kononnya Bumi akan bergelap selama 15 hari
bermula 15 November ini, seperti yang tersebar di laman sosial dan aplikasi
WhatsApp.
Dalam satu
kenyataan, Angkasa berkata, perbezaan jarak antara planet Musytari dan Zuhrah
tidak memungkinkan sebarang proses seperti yang digembar-gemburkan akan berlaku
dan tiada sebab untuk Bumi bergelap pada ketika itu.
Semakan daripada
laman sesawang Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) mendapati
peristiwa planet Musytari kelihatan berada terlalu hampir dengan planet Zuhrah
di langit atau juga dikenali sebagai fenomena Ijtimak atau 'Conjunction' adalah
normal.
"Fenomena Ijtimak
telah berlaku pada 30 Jun lepas dan akan berlaku sekali lagi pada 26 Oktober
ini. Ketika fenomena ini berlaku pada 30 Jun lalu, planet Zuhrah pada ketika itu
berada pada jarak 77 juta km dari Bumi manakala planet Musytari pula pada jarak
909 juta km dari Bumi," menurut kenyataan itu.
Satu artikel palsu
kononnya pihak Nasa mengesahkan Bumi akan bergelap mulai 15 hingga 30 November
ini akibat planet Musytari dan Zuhrah akan kelihatan sangat hampir atau hampir
selari, hanya terpisah sejauh sudut satu darjah sahaja di langit, telah tersebar
luas.
Artikel palsu itu juga
mendakwa Ketua Pentadbiran Nasa, Charles Bolden memberi penjelasan dalam dokumen
sepanjang 1,000 muka surat kepada White House mengenai kejadian yang hanya
berlaku sekali dalam satu juta tahun ini yang juga dikenali sebagai "November
Black Out". - Bernama
0 Response to "Bumi Bergelap 15 Hari Tak Benar"
Post a Comment