
Operasi Kebersihan Premis Makanan yang
dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak seminggu lalu membongkar
situasi sebenar tahap kebersihan restoran dan gerai di ibu negara.
Hampir kebanyakan premis makanan termasuk
restoran yang popular dalam kalangan pelanggan didapati kotor dan tidak mematuhi
garisan panduan kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Dalam operasi itu, lebih 60 peratus atau 142
daripada 221 restoran dan gerai yang diperiksa DBKL diarah tutup ekoran
mengabaikan kebersihan.
Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk P.
Gunaseelan berkata, operasi memeriksa kebersihan di premis makanan itu
dijalankan berikutan penularan wabak demam kepialu ketika ini.
Jelasnya, pemeriksaan secara rambang itu
dilakukan di sekitar Jalan Duta, Taman Tun Dr. Ismail, Jalan Cenderasari, Bukit
Bintang, Jalan Semarak, Padang Tembak, Wisma Central, Jalan Masjid India, Jalan
Mega Mendung dan Kepong.
“Dalam operasi ini, tandas dan dapur di
beberapa premis didapati dalam keadaan kotor sehingga mengundang kehadiran lipas
dan tikus.
“Selain itu, pihak majikan juga gagal mendidik
pekerja mengenai kebersihan dan ada antara mereka tidak memakai apron, topi atau
sarung tangan ketika menyediakan makanan serta minuman,” katanya dalam sidang
akhbar operasi itu di Kepong dekat sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan
dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah.
Seramai 36 pegawai dan penguat kuasa DBKL
menyertai operasi itu dan turut mengedarkan risalah mengenai ancaman demam
kepialu kepada pekerja restoran dan orang ramai.
Menurut Gunaseelan, mengikut prosedur operasi
standard (SOP) yang diamalkan DBKL, mana-mana gerai di pusat penjaja akan
ditutup jika mengambil warga asing bekerja.
“Bagi restoran pula, mereka dibenarkan menggaji
warga asing sebagai tukang masak dan pelayan selagi mematuhi syarat-syarat DBKL
yang melibatkan ujian kesihatan dan suntikan tifoid.
“Walau bagaimanapun, jika restoran terbabit
dikesan menyebabkan penularan wabak kepialu, tindakan penutupan dan pembatalan
lesen akan dibuat,” katanya.
Menurutnya, sejak Januari hingga Jumaat lalu,
sebanyak 852 premis makanan diarah tutup atas pelbagai faktor terutamanya
masalah kebersihan.
Katanya, DBKL telah mengeluarkan sebanyak 54
kompaun kepada peniaga yang melibatkan denda antara RM50 hingga maksimum
RM2,000.
0 Response to "Hampir Semua Premis Kotor"
Post a Comment