KUALA KUBU BHARU – Operasi mencari dan menyelamat guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, yang hilang sejak tujuh hari lepas di Taman Seri Seruling di sini diteruskan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sungai Perak Bidor, Perak.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata kira-kira 15 anggota PGA terlibat membantu dalam operasi memasuki hari keempat hari ini, yang tertumpu di Kampung Orang Asli Buluh Telur di sini.
“Operasi yang berkeluasan tiga kilometer radius hari ini akan diteruskan dengan bantuan PGA Sungai Perak yang mempunyai kepakaran dalam hutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seramai 69 orang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Hutan, Pegawai Pendidikan Daerah, dan penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang bermula 9 pagi ini, katanya.
Jashiah Rabu |
Supramaniam berkata pencarian hari ini turut melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM selain mencari di pondok-pondok kosong berhampiran kebun getah.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga pukul 7 malam mengikut keadaan cuaca.
Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya pada petang Jumaat dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah.
Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer. – BERNAMA
0 Response to "Operasi Cari Guru Besar Hilang masih diteruskan dengan bantuan PGA"
Post a Comment