![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh3L84TzJpptFMhMl7X6HlKo2XNadP_jRGeLU3LXlk-1xzJDPvQdLo9DvnNRVJwYbe8tY-wbBKRHuRN17DulPq-wSEQSb-3I9mzTI_bgmRtwUM_YzvD8qhCA9N3lotu5-V2ndtZ0-mBakq0/s640/61446023438_freesize.jpg)
KEKECOHAN telah tercetus di pusat wilayah
bisnes di Melbourne petang Selasa apabila seorang lelaki yang bersenjatakan
pisau pemotong daging secara tiba-tiba menawan sebuah restoran masakan
Malaysia.
Lelaki yang dipercayai berusia 20-an itu telah
menyebabkan pasukan polis bergegas ke lokasi dan mengosongkan premis tersebut.
Pihak polis kemudiannya berunding dengan lelaki itu, yang berdiri di ruang
jendela aras dua restoran berkenaan sambil menjeritkan
permintaan-permintaannya.
Insiden tersebut berlangsung selama lebih
kurang tiga jam sebelum pihak polis akhirnya dapat memujuk lelaki itu untuk
menyerah diri.
Berikut adalah beberapa maklumat insiden yang
dilaporkan media pada Selasa:
PELAKU
Menurut portal berita The Star, lelaki tersebut
merupakan warga Malaysia yang dikenali sebagai "Panjang". Dia ialah pelanggan
lazim di restoran Little Ipoh, tempat berlakunya insiden tawanan tersebut.
Lelaki itu dipercayai tinggal di Springvale
iaitu kawasan pinggir bandar Melbourne. Dia tidak memiliki keluarga di
Australia.
Sewaktu adegan tawanan di restoran itu, dia
banyak kali menjerit dan meminta agar dapat bertemu ibunya.
Pihak polis memberi maklum balas kepadanya
dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa akan menghubungi Jabatan
Imigresen.
LOKASI
Drama mencemaskan itu belaku di restoran Little
Ipoh di alamat 360 La Trobe Street, di sebatang jalan popular di
Melbourne.
Jalan tersebut menempatkan pelbagai premis awam
dam persendirian, termasuk beberapa buah kafe dan restoran.
Terdapat dua stesen kereta api bawah tanah di
La Trobe Street iaitu stesen Flagstaff dan Melbourne Central. Kawasan tersebut
juga dilintasi laluan tram City Circle, No. 24. 30 dan 43.
Sewaktu insiden itu berlaku, sistem
pengangkutan awam dan lalu lintas terpaksa dilencongkan.
INSIDEN
Menurut portal berita 9news.com.au, pasukan
polis operasi khas di Victoria telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1
petang mengenai kekecohan di La Trobe Street melibatkan ‘lelaki yang
bersenjatakan pisau pemotong daging’.
Sejurus tiba, pasukan polis mengambil masa
sejam untuk mengepung kawasan restoran Little Ipoh dan laluan di sekitarnya.
Lelaki tersebut terus melaungkan permintaannya dari aras dua restoran
tersebut.
Ketika itu, tiada pelanggan berada dalam
restoran yang ditawan itu kerana sudah dibawa keluar dari premis
berkenaan.
Pada jam 2.15 petang, lelaki yang telah
memecahkan beberapa buah jendela di restoran itu dilihat melontar kepingan kaca
besar kepada pihak polis.
Sekitar 15 minit kemudian, lelaki itu memakai
cermin mata hitam dan menunjukkan isyarat ‘aman’ dengan jarinya kepada khalayak
umum yang berkumpul di luar restoran.
Menurut berita news.com.au, lelaki itu turun
selepas jam 3 petang setelah pegawai polis berunding dengannya menggunakan alat
pembesar suara.
Dia telah dibawa dalam pengawasan dan kawalan
polis sejurus keluar dari restoran itu. Pihak polis berkata, premis tersebut
mengalami kerosakan sepanjang lelaki itu berada di dalam restoran
berkenaan.
0 Response to "Panjang Tawan Restoran Malaysia"
Post a Comment