
Pihak berkuasa akan menarik balik lesen
perniagaan restoran makanan segera di ibu negara yang masih menggunakan khidmat
pekerja asing di bahagian dapur berikutan penularan wabak demam kepialu sejak
Ogos lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan larangan penggunaan pekerja asing sebagai
tukang masak dan melakukan pemantauan untuk mengesan majikan yang ingkar.
Katanya, larangan itu telah dikeluarkan
sebelum ini, namun masih banyak majikan yang tidak mematuhinya, justeru satu
pertemuan dengan setiap majikan akan turut diadakan dalam tempoh terdekat bagi
mengingatkan mereka.
“Saya sudah cakap sebelum ini kalau banyak
sangat pekerja asing jadi tukang masak, akan berlaku masalah. Dulu bila saya
sebut mengenai tikus orang marah, bila cakap pasal peminta sedekah pun orang
marah juga tetapi sekarang apa sudah jadi.
“Inilah masalah yang berlaku, saya bercakap
tetapi semua pihak termasuk pembangkang memutar belit kenyataan saya, jadi
sekarang saya minta bahagian pelesenan buat pemantauan dan jumpa setiap peniaga,
kalau tidak ikut peraturan tarik balik lesen,” katanya ketika ditemui di lobi
Parlimen hari ini.
Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan wabak
kepialu telah menular di ibu negara selepas 32 kes direkodkan sejak minggu
pertama bulan Ogos sehingga Sabtu lalu.
Penyakit tersebut dikesan dalam kalangan buruh
kontrak di Cheras manakala dua daripada 10 buruh kontrak yang diperiksa didapati
positif.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau
berkata, semua peniaga Melayu dan bumiputera di pusat perniagaan Ampang Park
akan ditempatkan di lokasi perniagaan baharu berikutan kawasan tersebut bakal
dirobohkan untuk pembinaan Stesen Transit Aliran Massa.
“Kerajaan memberi jaminan semua peniaga Melayu,
bumiputera dan kecil-kecilan yang terjejas akan dibantu, mereka tidak akan
diabaikan sama sekali, kami akan cari lokasi perniagaan baharu untuk mereka,”
tegasnya.
0 Response to "Tarik Balik Lesen Guna Warga Asing Sebagai Chef"
Post a Comment