
Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur
(LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut 85 nyawa
dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.
Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud
berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak
polis.
Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa
mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.
Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat
mangsa telah direkod oleh pihak polis.
Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk
para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib
dan solat hajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di
pekarangan Plaza Tol Ajil di sini malam ini bagi melindungi para pengguna
daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri
Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib;
ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi
Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah
Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.
Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi
taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian
yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober
lalu.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Razif
berkata, hasil daripada taklimat dan siasatan pihak-pihak berkenaan merumuskan
kebanyakan kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna iaitu sebanyak 70
peratus.
Menurutnya, ia disusuli faktor persekitaran 14
peratus termasuk masalah permukaan beralun serta sembilan peratus lagi adalah
faktor kenderaan.
“Daripada kajian, kemalangan berlaku di jalan
lurus dengan keadaan jalan dan cuaca baik. Kita percaya pemandu memandu laju
dengan kelajuan melebihi 120 km sejam,” ujarnya.
Justeru katanya, beberapa langkah drastik akan
diambil bagi mengurangkan kadar nahas di LPT2 termasuk menempatkan anggota
Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang turut dilengkapi peralatan bantuan di lokasi
yang sering berlaku kemalangan.
“Kita juga telah meminta kerjasama pihak polis
untuk menggandakan operasi perangkap had laju di sepanjang LPT2,” katanya.
Selain itu, Ahmad Razif berkata, beliau juga
meminta pihak LLM memasang papan-papan tanda amaran di lokasi tertentu sebagai
panduan dan peringatan kepada pengguna di lebuh raya itu.
0 Response to "Betul Ke LPT2 Itu Berhantu ?"
Post a Comment