Kathmandu: Mahkamah di Kathmandu kelmarin
membenarkan kapten bola sepak kebangsaan Nepal dan empat pemainnya diikat jamin
selepas didakwa atas tuduhan derhaka kerana mengatur perlawanan bagi kelayakan
Piala Dunia.
Pendakwa mahu bekas pemain, Bikash Singh
Chhetri, kapten Sagar Thapa, penjaga gol Ritesh Thapa, pemain pertahanan Sandip
Rai dan jurulatih Anjan KC dihukum penjara seumur hidup selepas mereka didakwa
Ahad lalu mengikut akta yang mengharamkan perbuatan menggugat kedaulatan,
kewibawaan atau perpaduan negara.
Peguam bela Nani Babu Budhathoki yang mewakili
Bikash berkata: “Mahkamah Khas mengarahkan mereka diikat jamin 500,000 rupee
(RM21,100) Anjan dan Ritesh, 100,000 rupee (RM4,200) untuk Sagar serta 50,000
rupee (RM2,100) masing-masing bagi Sandip dan Bikash.”
Lima pemain berkenaan menafikan terbabit dengan
perbuatan itu selepas ditahan di ibu negara Nepal, bulan lalu.
Sementara itu, pakar fisioterapi Dejiv Thapa
juga didakwa atas tuduhan derhaka secara in absentia (tanpa kehadirannya).
Semuanya ditahan selepas sejumlah besar wang
dilihat dimasukkan dalam akaun enam tertuduh terbabit daripada ejen di Malaysia
serta Singapura untuk mengatur perlawanan selama lapan tahun sejak 2009 termasuk
terhadap Afghanistan, Bangladesh, Malaysia dan Filipina.
Ia turut termasuk perlawanan pada 2011 untuk
kelayakan menyertai Piala Dunia 2014 di Brazil.
0 Response to "Dituduh Derhaka Kerana Atur Perlawanan"
Post a Comment